KUALA LUMPUR – Walaupun bermulut manis mengatakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang masing-masing 10 peratus dan 6 peratus yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya indah khabar daripada rupa.
Malah dengan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus yang diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN), ternyata jauh lebih mesra rakyat sebelum ini.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan kini terpaksa memperkenalkan pelbagai jenis cukai lain bagi menggantikan kerugian ditanggung berikutan kutipan cukai GST menjana pendapatan negara sebanyak RM44 bilion manakala SST sekadar RM25 bilion sahaja.
Kata beliau, sememangnya PH khasnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng boleh ‘mendabik’ dada mengatakan mereka jauh lebih prihatin dengan memansuhkan GST dan menggantikannya dengan SST walaupun terpaksa menanggung kerugian.
Tetapi jelas Dominic, pada masa yang sama, akibat tiada kajian kesan pemansuhan GST, maka kini kerajaan terpaksa memperkenalkan pelbagai jenis cukai-cukai lain yang turut membebankan rakyat.
“Sebelum PRU, memang senang sangat memberikan pelbagai jenis janji, mansuh itu dan ini. Walaupun baik tetapi kerana dasar kerajaan terdahulu serta pemikiran rakyat perlu diracun untuk mendapatkan undi, apa sudah jadi kini selepas 10 bulan mentadbir?
“Jadi apa yang cuba dibuktikan oleh PH ketika ini? Sememangnya GST itu adalah satu inisiatif yang baik, tidak begitu membebankan seperti kini. Sekarang lebih banyak cukai, kos juga meningkat.
“Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) juga meningkat begitu tinggi dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan mencatat angka tertinggi. Semua harga barang meningkat dengan sangat banyak. Bukankah SST dijamin akan lebih membantu rakyat?
“Benda-benda asas seperti air yang kini sudah ada enam negeri bersedia menaikan tarif pada masa ini. Elektirik, gas, bahan api, pendidikan, restoran, hotel, makanan, minuman semuanya naik harga.
“Makanan asas seperti telur, roti, sayuran, susu semuanya naik harga.
“Tidak cukup dengan itu kerajaan juga kenalkan cukai-cukai baharu seperti levi ke luar negara, cukai soda dan saya pasti ada banyak lagi akan dikenakan memandangkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat pemansuhkan GST.
“Jadi bebanan itu akan dikembalikan kepada rakyat, jadi apa gunanya berjanji sakan pada PRU lepas? Kononnya tidak akan bebankan rakyat malah cukai yang dikenakan juga tidak akan membebankan, benarkah dakwaan itu? Kita tidak nampak langsung.
“Kita mohon kepada kerajaan PH supaya kembalikan GST dan mungkin kadar peratusnya lebih rendah dengan permulaan seperti 3 peratus, ini akan bantu negara untuk terus menjana pendapatan manakala rakyat juga tidak terbeban dengan cukai-cukai baharu,” katanya.
Tambah Dominic, selain mengembalikan GST bagi mengukuhkan kembali ekonomi negara pihaknya mengemukakan beberapa cadangan antaranya memperkenalkan polisi yang lebih inklusif untuk semua dan tidak hanya berpandukan latar belakang, agama, kaum dan sebagainya.
“Buat polisi bukan dengan berpandukan kepentingan politik, jangan hanya ghairah tukar nama sahaja. Laksanakan polisi yang memberi keuntungan kepada semua.
“Jika tidak mampu lakukan, baik Menteri Kewangan yang tidak tahu membuat kerja beri peluang kepada orang lain sahaja, Lim Guan Eng hanya pandai jual aset negara sahaja, tidak akan bantu negara sebenarnya,” kata Dominic. –MalaysiaGazette