Home Seni Hidup ‘Nenek Kebayan’ tunggu kedatangan Dajjal

‘Nenek Kebayan’ tunggu kedatangan Dajjal

Pengamal perubatan Islam Ilahana, Sa'ad Jaafar (kiri) bersama Mohd. Azim Adam.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, satu video viral mengenai kelibat ‘nenek kebayan’ di Perak menjadi tular malah perakam video yang ternampak kelibat itu dikatakan pengsan.

Atas permintaan, seorang pengamal perubatan Islam, Sa’ad Jaafar mendakwa telah ‘menangkap’ makhlus halus secara jarak jauh bersama rakannya, Mohd. Azim Adam.

“Seperti biasa cara kami, terus menangkap nenek kebayan itu dan seterusnya menangkap kesemua geng-gengnya.

“Ketika menangkap nenek itu, ia cuba melarikan diri dan sambil itu mengubah bentuk dirinya dalam beberapa bentuk seperti berubah seperti beruk, pontianak besar dan tinggi dan selepas tertangkap barulah bertukar menjadi nenek kebayan.

“Selepas itu, barulah saya belasah nenek kebayan itu terlebih dahulu, untuk memudahkan mendapat maklumat yang benar.

Menurut Sa’ad, nenek kebayan itu ialah jin dan merupakan ketua kepada kumpulannya.Entiti itu kemudian dipenjara ke dalam satu penjara khas supaya tidak dapat lagi menganggu manusia.

Semasa disoal-siasat, nenek kebayan itu mengaku ‘menganggu’ sekumpulan kanak-kanak yang sedang mandi di kawasan air terjun berkenaan.Sa’ad mendakwa jin itu berusia 17 juta tahun dan mempunyai seramai 14 juta ekor jin pengikutnya.

Jin itu mendakwa sudah ‘meracun’ kawasan hutan berkenaan termasuk kawasan air terjun.

“Racun yang dimaksudkannya ialah telah menyihir kawasan itu,” ujarnya kepada Malaysia Gazette semalam.

Menurut Sa’ad, jin berkenaan didakwa mengetahui kelibatnya dirakam video dan membenarkannya supaya diketahui manusia dan sebelum itu tidak pernah menampakkan diri.

“Jin itu juga mendakwa manusia kini sudah berada di penghujung zaman dan mereka (jin) kini sedang menunggu kedatangan ketua mereka iaitu Dajjal,” katanya lagi.

Jin itu juga mendakwa mereka yang terkena sihirnya akan menjadi pelupa, dungu, pemarah selain sesak nafas.

Dalam pada itu, jin yang sama juga dikatakan marah dengan kehadiran manusia yang menganggu kawasan mereka.

Kesimpulannya, kata Sa’ad yang juga mempunyai pusat rawatan Ilahana itu, kawasan hutan dan air memang ada jin dan entiti itu sudah menabur sihirnya dan jika manusia yang pergi akan terkena.

“Terpulang kepada anda untuk percaya atau tidak. Tanggungjawab saya hanya bongkarkan rahsia-rahsia kejahatan jin-jin itu, agar manusia tidak terkena ‘racun-racun’ itu dan tidak diganggu oleh jin-jin yang berada ditempat mereka iaitu hutan dan kawasan air.-

Sa’ad juga menulis perbualannya lebih lanjut dalam blognya, PakarTangkapJin.blogspot.com.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengsan ternampak ‘nenek kebayan’?