Home Politik PH temberang, tak pernah ada jawatankuasa pemilihan matrikulasi

PH temberang, tak pernah ada jawatankuasa pemilihan matrikulasi

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan bercakap ketika sesi sidang media pada Program Kesejahteraan Masyarakat India di Bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di Giant Kota Damansara, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2018
Datuk P. Kamalanathan.

KUALA LUMPUR – Tidak pernah ada jawatankuasa pemilihan matrikulasi pernah diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan.

Itu kata bekas timbalan menterinya, Datuk P. Kamalanathan yang bertugas di kementerian itu sejak tahun 2013 hingga tahun 2018.

“Secara jujurnya, tidak ada jawatankuasa pemilihan matrikulasi sepanjang pengetahuan saya menjadi timbalan menteri.

“Kedua, sekiranya ada ia mungkin pertubuhan rahsia yang tidak ada sesiapa pun tahu,” katanya dalam siaran live FBnya hari ini.

Menurut Kamalanathan, jika jawatankuasa itu benar-benar wujud, ia sudah tentu dapat menyelesaikan kemelut kemasukan pelajar matrikulasi India dan ada wakil di dalamnya.

“Setahu saya takda.Jangan menipu, you (Pakatan Harapan) menang pilihan raya (guna) fitnah dan berterusan,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pusat MIC Kebangsaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan netizen mengenai status jawatankuasa berkenaan seperti didakwa pimpinan kerajaan sekarang.

Dalam pada itu, Kamalanathan juga kecewa apabila membaca berita mengenai kuota pelajar India memasuki matrikulasi seramai 700 orang sahaja.

Sedangkan, pada zaman Barisan Nasional (BN), MIC telah berjaya meningkatkan kuota yang sama sehingga 2,200 pelajar.

“Sekirannya 1, 500 (pelajar India) diserap pun sepatutnya lebih kena beri oleh kerajaan sekarang, bukan kerajaan BN yang temberang, kerajaan PH yang temberang.

“(Mana) pemimpin kaum india yang menang dengan pelbagai janji-janji dulu?” soalnya.

Beliau juga dengan panjang lebar menceritakan kronologi bagaimana perjuangan MIC mendapatkan kuota sebanyak itu sebelum ini.

“Saya harap tak benar. Angka 700 itu saya harap palsu, kalau benar angka muktamad dua tahun sekarang pengamblan pelajar india lebih teruk daripada sebelum ini.

“Saya harap PH dapat laksana (lebih 700 kuota) dan saya sedia beri kerjasama,” katanya lagi.

Secara seloroh, beliau memahami Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mungkin sibuk fokus pertukaran warna kasut dan stokin.

Bagaimanapun, beliau berharap Maszlee tidak mengabaikan agenda kaum India.

Dalam pada itu, Kamalanathan tidak menyalahkan kakitangan kementerian kerana mereka bekerja mengikut arahan menteri.- MalaysiaGazette