Home Politik Pusingan ‘U’ polisi kerajaan buat pelabur luar takut

Pusingan ‘U’ polisi kerajaan buat pelabur luar takut

Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai diiringi Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong (kiri) dan Setiausaha Agung GERAKAN, Mak Kah Keong (kanan) pada sidang media berkenaan isu semasa GST dan SST di Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) seringkali membuatkan pelabur asing seram dan takut melabur di negara ini.

Ia kerana mereka seringkali membuat pusingan u yang melibatkan dasar-dasar kerajaan.

Malah ada pelabur sanggup melabur di negara lain walaupun sudah lama bertapak di sini gara-gara sikap yang ditonjolkan oleh kerajaan sekarang yang masih berfikiran ‘pembangkang’.

Menurut Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau, pelabur luar kini tidak yakin dengan kestabilan ekonomi negara pada masa kini.

Malah kenyataan melulu selain daripada berterusan mencari kepincangan kerajaan terdahulu memberi gambaran negatif dan punca mengapa para pelabur semakin hilang minat.

“Sebenarnya membuat pusingan ‘U’ dalam segala macam polisi terdahulu dan ada kini akan memberikan impak kepada para pelabur. Untuk pelabur, dasar serta polisi kita tidak menentu malah pentadbiran baru ini semestinya diperhatikan. Tolonglah lebih efisien dan kredibiliti sikit.

“Menteri-menteri serta pimpinan lain yang dipertanggungjawabkan juga mengeluarkan kenyataan melulu kadangkala tidak masuk akal. Sebenarnya semua itu beri impak sangat besar kepada kita.

“Pelabur, seram dan akan lari ke tempat lain kerana pada mereka kita tidak stabil langsung. Tambah pula dengan keadaan ekonomi dan pasaran saham yang tidak menentu sebagai pelabur apa yang anda mereka akan lakukan?

“Sudahlah kita kini terhimpit dengan ekonomi teruk, kos sara hidup meningkat sehingga ramai tertekan di tambah pula pelabur luar melarikan diri kerana kesilapan sebilangan Menteri PH tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada tahun lepas, Nikkei, akhbar kewangan terbesar di dunia dengan edaran lebih tiga juta naskah melaporkan, selepas peralihan kuasa di Malaysia, dana saham terus mengalir keluar dari negara disebabkan pelabur tetap tidak yakin bahawa Tun Dr. Mahathir bMohamad oleh mewujudkan laluan pertumbuhan yang berdaya maju.

Akhbar tersebut melaporkan, dasar-dasar kewangan yang tidak kukuh termasuk pemberhentian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan masih menyaksikan penurunan sekarang.

Baru-baru ini pula, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan kejatuhan nilai aset Tabung Haji (TH) pada 2018 khususnya pada suku ke-4 berpunca daripada kesilapan pemimpin kerajaan PH hingga menyebabkan para pelabur lari.

Najib berkata, pada suku ke-4 tahun lalu, aset TH jatuh sebanyak RM5.4 bilion dan defisit sebenar TH pada akhir tahun 2018 adalah RM10.9 bilion yang disebabkan kejatuhan nilai saham, bukannya RM11.9 bilion seperti dilakukan kerajaan PH menerusi ‘creative accounting’.

“Paling menyedihkan ialah propaganda PH pada suku keempat tahun lepas untuk menyerang BN hingga memakan diri dan akhirnya membawa kepada kemusnahan TH.

“Ia adalah langkah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hutang Malaysia tiba-tiba menjadi RM1 trilion hingga menyebabkan para pelabur lari pada masa itu,” ujarnya dalam laman facebook beliau. –MalaysiaGazette