KLUANG – Gabungan otai reformasi dan golongan anak muda dilihat mampu memantapkan perjalanan parti PKR pada masa hadapan, memandangkan kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu akan lebih aktif, terutama dalam melaksanakan program dan agenda yang antara lain mementingkan kebajikan pada rakyat sama ada di bandar, mahupun luar bandar.
“Dalam masa yang sama, kita juga akan menggabungkan golongan anak muda dan ‘Otai Reformasi’ dalam menjayakannya, kerana kedua-dua golongan ini mempunyai kelebihan masing-masing.
“Sebab apa kita libatkan Otai Reformasi ini kerana merekalah yang menjadi penggerak utama penubuhan PKR dan kita tidak mahu dikatakan meminggirkan mereka,” katanya ketika berucap pada Program Himpunan Otai Reformasi Johor’ 98 di sini hari ini.
Turut hadir Anggota Parlimen Batu Pahat Datuk Rashid Hasnon dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Johor Hassan Karim.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, objektif utama Himpunan Otai Reformasi ini adalah untuk menyediakan wadah perkongsian bersama, agar menjadi kesinambungan perjuangan reformasi yang diwujudkan sebelum ini.
Selain itu, ia juga dapat memupuk, mengekalkan serta menghargai pejuang reformasi yang telah bertungkus lumus sebelum ini, agar menjadi ‘model’ kepada ahli PKR yang ada sekarang ini.
“Kerjasama erat dapat dilakukan antara ahli baharu dan ‘otai reformasi’ ini dengan meneruskan agenda yang diperjuangkan sebelum ini, iaitu menolak ‘keangkuhan kuasa’ yang diamalkan kerajaan sebelum ini.
“Saya berharap agar golongan ‘otai reformasi’ ini juga perlu tampil ke hadapan, dan jangan malu berkongsi pengalaman suka duka perjuangan yang telah menjangkau dua dekad ini, agar tidak terpesong daripada landasannya,” kata beliau.- BERNAMA