KUALA LUMPUR – Penjawat awam perlu menerima realiti mereka kini berkhidmat dengan ‘ketua’ yang baharu dalam kerajaan, kata Khalid Samad.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, mereka kini dalam fasa pembaharuan selepas lebih 60 tahun dibentuk oleh cara kepimpinan kerajaan terdahulu.
“Ramai antara orang Amanah merungut, marah dan kecewa kenapa penjawat awam yang masih sokong kerajaan terdahulu tidak dipecat atau rombak semua, kenapa KSU (Ketua Setiausaha) orang UMNO,..kenapa tak lantik orang kita?
“Itu tidak boleh dilakukan kerajaan kedudukan dan jawatan dalam kerajaan sudah sebegitu sejak lama…kita kena juga hadapi dan uruskan jentera yang sedia ada ini dan membawa perubahan dalam kalangan mereka mengikut acuan nilai dan dasar yang kita hendak terapkan.
“Kita kena berikan kefahaman kepada mereka (penjawat awam) bahawa mereka sudah ada ketua baharu dengan wawasan tertentu dan kamu kena ikut hala tuju yang ingin dibawakan ketua (kerajaan Pakatan Harapan (PH) baharu,” katanya yang juga Pengerusi Komunikasi Nasional Parti Amanah Negara semasa berucap di Sepetang bersama Pimpinan Amanah di sini hari ini.
Khalid mengakui beliau memahami keluhan dan kemarahan penyokong dan ahli Amanah serta PH yang mengecam pemimpin pemimpin parti kononnya selepas menang PRU-14 sudah lupa daratan dan selesa dengan jawatan masing-masing manakala orang bawah tidak dapat sebarang habuan.
Bagaimanapun, Khalid mendedahkan sebenarnya beliau tidak mengharapkan sebarang jawatan dalam jemaah menteri tetapi akur setelah diberikan oleh pucuk kepimpinan.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, bukan mudah untuk mengubah budaya kerja yang diinginkan PH dalam kalangan penjawat awam kerana selama 60 tahun sehingga 9 Mei lalu mereka diconggakkan dengan pemikiran yang dibawa UMNO-BN.
Menurutnya, penjawat awam bersifat ‘daulah terpendam’ iaitu golongan dalam kerajaan yang masih menyokong kerajaan lama dan tidak berkeyakinan dengan halatuju kerajaan baharu.
Justeru, mereka mengambil sikap tidak menentang secara terbuka tetapi melengah-lengahkan apa yang diarahkan kerajaan.
Beliau juga mengingatkan para penyokong dan ahli parti supaya berhenti mempertikai parti dan kepimpinan kerana ia hanya akan memberi kelebihan kepada perang psikologi yang dimainkan pihak lawan termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Ingatlah walaupun Najib tidak mentadbir kerajaan, dia dapatkan nasihat pakar terbaik sekali dengan kemampuan kewangan yang dimilikinya untuk menangani situasi yang dihadapinya sekarang serta cara menyekat perubahan yang diusahakan PH.
“Jangan ingat, pemimpin kita sudah lupa reformasi perjuangan selepas menang. Itu tidak benar, kita sebenarnya masih dalam fasa perubahan ‘bertarung’ dengan golongan daulah terpendam ini untuk mencapai objektif mensejahterakan rakyat dan negara yang bersih.
“Kalau ahli dan penyokong mula pertikai pimpinan dalam PH sendiri dan merasa yakin bahawa pemimpin hilang hala tuju, sudah lupa perjuangan apa yang dilakukan ahli-ahli penyokong sebagainya, maka matlamat di sebalik strategi Najib, golongan daulah terpendam itu tercapai nanti,” tegasnya.
Katanya, segala kritikan dan hentaman terhadap kerajaan PH sendiri tanpa memeriksa kesahihan hanya akan membantu Najib dan menyakiti kakitangan awam bahawa kerajaan ini tidak akan bertahan lama.
“Ia akan menambah ketakutan mereka apa nasib nanti jika kerajaan PH ini yang didakwa sepenggal oleh pembangkang dan Najib menjadi nyata dan tindakan BN jika kembali bentuk kerajaan nanti.
“Sebab itulah kita kena menerapkan budaya, nilai dan dasar pentadbiran PH terhadap kakitangan tanpa paksaan dengan memberi penjelasan,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette