Home Sukan Juve menang liga kali kelapan berturut-turut

Juve menang liga kali kelapan berturut-turut

Juventus menguasai pentas liga musim ini apabila berada di puncak dengan 87 mata iaitu kelebihan 20 mata.

MILAN – Juventus terus mencipta sejarah apabila meraih gelaran kali kelapan berturut turut selepas menewaskan Fiorentina 2-1 dalam saingan Serie A, awal pagi tadi.

Biarpun pelawat terlebih dahulu berada di depan seawal minit keenam, tuan rumah menampilkan kebangkitan menerusi andukan Alex Sandro pada minit ke-37 dan gol sendiri pertahanan Fiorentina, German Pezzella.

Kemenangan membuatkan Juventus berada di dalam sejarah bola sepak apabila merangkul kejuaraan ke-35 Scudetto.

Gelaran kali kelapan berturut-turut yang dimenangi Juventus turut mengatasi rekod kelab Perancis, Lyon dalam kancah bola sepak di Eropah.

Juventus turut menyamai rekod kelab Torino pada 1948, Fiorentina (1956) dan Inter Milan (2007) yang masing-masing menjuarai Serie A dengan aksi liga masih berbaki lima perlawanan.

Musim ini, anak buah Massimiliano Allegri merakam 28 kemenangan, tiga seri dan hanya kalah dua perlawanan iaitu di tangan Genoa dan SPAL.

Namun, mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara ketika hanya memerlukan hanya satu gol untuk mara ke separuh akhir apabila tewas di tangan Ajax pada Selasa lalu.

Juventus juga berpeluang menyamai rekod menamatkan musim dengan mengumpul 102 mata ketika kelab itu dikendalikan Antonio Conte pada 2014. – MalaysiaGazette