KUALA LUMPUR – Biarpun kekal di kedudukan tercorot, namun kemenangan malam tadi membolehkan Kuala Lumpur berkongsi tujuh mata dengan pasukan tangga ke-11, FELDA United FC dan hanya satu mata di belakang PJ City yang menghuni kedudukan ke-10.
Kuala Lumpur meneruskan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super selepas menewaskan PJ City FC 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
PJ City terlebih dahulu mencemaskan kubu Kuala Lumpur menerusi percubaan jarak dekat Safee Sali tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin pada minit ke-30.
Percubaan terbaik Kuala Lumpur di babak pertama hanya hadir pada minit ke-45 menerusi rembatan dari luar kotak penalti Guilherme De Paula yang ditampan penjaga gol, Muhaimin Mohamad.
Kuala Lumpur akhirnya berjaya mendapatkan gol pendahuluan selepas lima minit bersambung babak kedua apabila rembatan deras Ashri Chuchu terkena pemain PJ City, Aizulridzwan Razali sebelum singgah di palang gol dan menerjah jaring.
Ia kemenangan kedua skuad bimbingan Chong Yee Fatt dalam saingan liga musim ini selepas mengejutkan Kedah 2-1 di gelanggang sama pada 6 April lalu.