SHAH ALAM – Skuad bimbingan B Sathianathan meraih kemenangan keempat musim ini sekali gus menamatkan rekod tiga kemenangan berturut-turut yang diraih PKNP FC sebelum ini.
Pada aksi terbabit, pelawat terlebih dahulu memiliki peluang terbaik untuk beroleh gol pendahuluan menerusi larian solo Hafiz Ramdan yang berjaya dinafikan penjaga gol Selangor, Mohd Farizal Harun pada minit ke-10.
Bagaimanapun, tindakan pemain PKNP FC yang menjatuhkan Abdul Halim Saari mengundang padah apabila Selangor dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-12 dan ia disempurnakan dengan baik oleh Sandro da Silva untuk gol pembukaan.
Selangor terlepas satu lagi peluang keemasan untuk melebarkan jurang pada separuh masa kedua bersambung menerusi penyudah Sandro yang diselamatkan Ahmad Asyraaf pada minit ke-54 sebelum dia sekali lagi cemerlang menepis percubaan Faiz Nasir daripada luar kotak penalti dua minit berselang.
Usaha konsisten Selangor yang menguasai sebahagian besar babak kedua dalam memburu gol kedua akhirnya berhasil menerusi Syahmi yang melakukan rembatan leret untuk menewaskan Ahmad Asyraaf buat kali kedua pada minit ke-78.
Selepas selesa mendahului 2-0, jaringan pemain gantian PKNP FC, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri pada minit ke-85 sedikit menggoyahkan semangat Selangor namun mereka berjaya bertahan dengan baik sehingga wisel penamat dibunyikan.
Lima minit terakhir perlawanan mungkin menjadi detik paling mendebarkan buat Selangor sebelum berjaya mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.