Home Nasional Bayi dua bulan meninggal dalam pesawat AirAsia

Bayi dua bulan meninggal dalam pesawat AirAsia

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bayi dua bulan meninggal dunia dalam pesawat AirAsia ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth.

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan seorang jurucakap AirAsia yang dipetik daripada Radio 6PR’s Breakfast telah mengeluarkan kenyataan berhubung ‘perubatan kecemasan membabitkan bayi’ dalam penerbangan D7236.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang kami sentiasa menjadi keutamaan AirAsia dan mengikut prosedur,” menurut jurucakap syarikat penerbangan tersebut.

Katanya lagi, AirAsia telah mendapatkan bantuan perubatan sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu tidak memberi ulasan lanjut mengenai keadaan perubatan bayi tersebut.

Akhbar Australia itu melaporkan polis sedang membuat laporan untuk koroner.

Susulan kejadian iti, penerbangan AirAsia dari Perth-Kuala Lumpur telah dijadual semula untuk berlepas 6.50 pagi waktu tempatan.

AirAsia dipetik sebagai berkata, ia akan membantu dan menempah semula untuk penumpang yang mempunyai sambungan terus dari Kuala Lumpur pada petang Isnin dan memohon maaf atas kesulitan itu. – MalaysiaGazette