PUTRAJAYA – Akta Orang Asli 1954 atau Akta 134 akan dipinda untuk memberikan kuasa mutlak kepada masyarakat Orang Asli melantik dan juga memecat Tok Batin tanpa campur tangan menteri yang bertanggungjawab.
Itu antara perkara dan isu daripada 133 resolusi yang telah dibincangkan oleh wakil-wakil Orang Asli sebelum Konvensyen Masyarakat Orang Asli 2019 yang julung-julung kali diadakan menutup tirai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waythamoorthy berkata, masyarakat Orang Asli menuntut supaya mereka diberikan hak dan kuasa mutlak sekiranya terdapat apa-apa kesalahan yang memerlukan pemecatan Tok Batin serta pelantikannya hendaklah dilakukan oleh mereka sendiri melalui Majlis Tok Batin dan Adat Resam.
“Mereka mahu satu Majlis Tok Batin dan Adat Resam Orang Asli ditubuhkan untuk menguruskan pelantikan dan pemecatan Tok Batin mereka yang ditentukan mereka sendiri tanpa campur tangan menteri.
“Saya merujuk merujuk kepada Seksyen 16 (1) Akta Orang Asli 1954 atau 134 menyatakan ketua turun-temurun bagi suatu masyarakat Orang Asli hendaklah menjadi ketua masyarakat itu atau, dalam satu hal sesuatu masyarakat seorang yang di dalamnya jawatan ketua itu bukan turun-temurun, seorang yang dipilih sebagai ketua oleh anggota masyarakat itu hendaklah menjadi ketua masyarakat itu, tertakluk dalam setiap kes kepada pengesahan oleh menteri.
“Manakala Seksyen 16 (2) menyatakan menteri boleh memecat mana mana ketua daripada jawatan ini, maka ini adalah kuasa menteri yang dilihat oleh masyarakat Orang Asli sebagai tidak bersesuaian dengan masa kini,” katanya dalam sidang media sesi merumuskan konvensyen yang dihadiri kira-kira 1,200 orang termasuk fasilitator dan wakil Ornag Asli Tok Batin Mohamad Nohing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy, berucap pada Majlis Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 22 APRIL 2019.Beliau menerima baik cadangan itu dan akan mengemukakan satu pindaan dilakukan untuk memperkasakan masyarakat Ornag Asli setelah tertubuhnya Majlis Batin dan Adat Resam seperti yang dikehendaki oleh komuniti itu.
Katanya, 133 resolusi itu diluluskan untuk diambil dalam merangka pelan pembangunan komuniti Orang Asli berasaskan tujuh bidang iaitu, Tanah, Kesihatan, Pendidikan, Ekonomi, Kebudayaan, Kepimpinan dan Insfrastruktur.
Malah, Orang Asli juga meminta kerajaan agar perkara mengenai perkahwinan dan perceraian dan agama tradisi mereka juga ditentukan mengikut adat resam sendiri seperti mana kaum lain.
Selain itu, Resolusi Tanah yang dipersetujui dalam konvensyen itu akan dipanjangkan kepada kerajaan untuk persetujuan.
Ia membabitkan mengukur tanah adat dibawah Akta 134 dengan segera, selain kawasan tambahan untuk menampung populasi Orang Asli.
Malah, satu pemetaan yang tetap untuk memudahkan perancangan pembangunan penempatan teratur masyarakat asal itu.
Ditanya mengenai pindaan tanah adat yang dianggap aset nyawa masyarakat pribumi itu, menteri yang bertanggungjawab menjaga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu berkata, buat masa ini soal pewartaan tanah adat itu dibincangkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dengan kerajaan negeri yang terlibat.
“Ini kerana kuasa itu masih terletak di kerajaan negeri walaupun ada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara dan yang pentingnya keputusan daripada Mahkamah Persekutan adalah jelas dalam mengiktirafkan hak tanah adat Orang Asli.
“Benar..benar,, kami akan melakukan perkara itu (berbincang dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri) selesaikan isu tanah adat sebelum diwartakan.
“Bukan sahaja pindaan soal tanah dan kuasa Tok Batin, malah kita juga perlu membuat beberapa pindaan lain dalam akta berkenaan dan ia akan dikemukakan terlebih dahulu untuk dibincangkan dan menyemak semula akta ini secara menyelruuh.
“Dalam hal ini, pandangan dan nasihat Peguam Negara (Tommy Thomas) akan diperolehi dan selepas itu cadangan semua pindaan relevan ini akan dikemukakan tanpa sebarang jangka masa khusus, bagaimanapun dijangkakan akhir tahun ini atau awal tahun 2020,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette