KUALA LUMPUR – Hari ini genap hari ke-6 kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.
Seperti hari-hari sebelum ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tiba tepat pada jam 8.50 pagi dengan lengkap berpakaian kot berwarna kelabu dan bertali leher kelihatan ceria dengan menaiki Proton Perdana hitam bernombor TN50.
Malah, beliau turut membawa buku untuk dibaca seperti yang dilakukan olehnya sejak beberapa hari lepas.
Seperti biasa, Najib akan menegur jurugambar serta orang awam di sekelilingnya.
Kelihatan beberapa anggota polis yang membantu beliau naik ke bilik perbicaraan beliau di tingkat lima.
Bagaimanapun, kehadiran penyokong, orang awam dan media kelihatan sudah berkurangan berbanding sebelum ini.
Pada Khamis lepas, saksi pendakwaan keenam, Pereka Hiasan Dalaman di ABS Trend Master Sdn. Bhd. Zulkarnain Mohamad, 46, dipanggil untuk memberi keterangan.
Saksi memberitahu telah melakukan kerja-kerja membina kabinet dapur dan setor di kediaman bekas Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta pada 2014 dengan kos lebih RM200,000.
Perbicaraan Jumaat lalu kecoh apabila satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.
Rakaman berkenaan dimuat naik menerusi akaun bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil dan pihak polis telah membuka kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Rakaman selama dua minit 12 saat yang turut diberi tajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ itu menunjukkan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyoal saksi dalam kes itu.
Di jangka pihak pendakwa akan mengemukan perkara tersebut pada di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini. – MalaysiaGazette