Home Nasional Nampaknya pemikiran Bersatu juga tidak ubah seperti UMNO – DAP  

Nampaknya pemikiran Bersatu juga tidak ubah seperti UMNO – DAP  

KUALA LUMPUR – Kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat pelajar Bumiputera dan 10 peratus kepada bukan Bumiputera dalam Program Matrikulasi tidak mencerminkan era Malaysia Baharu.

Malah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy berkata, kenyataan itu sebenarnya mencerminkan pendirian Bersatu yang tidak ubah seperti UMNO yang mengamalkan perjuangan politik perkauman melampau selama ini.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu meluahkan perasaan dengan memberikan ratio 90:10 bagi kemasukan pelajar bumiputera sebenarnya tidak boleh diamalkan lagi seperti pemerintah dulu.

Sebaliknya kata beliau, sudah ada keperluan mendesak pada masa kini yang memerlukan perubahan lebih baik dan memberikan keadilan kepada para pelajar bukan bumiputera yang mempunyai pencapaian baik.

“Nampaknya pemikiran Bersatu ini masih lagi ‘terperangkap’ dengan kepompong politik perkauman melampau UMNO. Bersatu yang menjadi salah satu komponen Pakatan Harapan (PH) sepatutnya memberikan gambaran kita melangkaui UMNO dan Pas.

“Adalah tidak bagus untuk parti ini berpegang kepada keputusan yang dibuat oleh UMNO ketika berkuasa pada satu masa dahulu.

“Formula 90:10 itu merupakan sesuatu yang menjadi amalan UMNO sebelum ini dalam kemasukan pelajar bukan bumiputera ke matrikulasi sebelum ini. Sepatutnya sudah tiba masanya, kita keluar dari kepompong ini demi kebaikan semua.

“Untuk terus berpegang dengan dasar serta prinsip kerajaan terdahul tidak akan sesekali membawa sebarang kebaikan kepada komponen lain dalam PH pada masa kini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.

Ramasamy mengulas kenyataan Bersatu menyokong penuh pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat kepada pelajar Bumiputera dan 10 peratus tempat kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mengikuti program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan.

Ketua Penerangan Bersatu, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin semalam berkata, pengekalan dasar itu adalah selaras dengan matlamat asal program matrikulasi iaitu membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.

“Kita memahami hakikat bahawa dengan lebih ramai pelajar memperoleh keputusan Sjil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang, persaingan untuk mengikuti program matrikulasi menjadi semakin sengit.

“Tambahan pula, dengan dasar kerajaan memberikan keutamaan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga B40, akan menyebabkan terdapat pelajar cemerlang SPM daripada keluarga bukan B40 yang tidak mendapat tawaran ke program tersebut. Oleh itu, alternatif lebih baik perlu disediakan kepada pelajar cemerlang itu,” katanya.

Jelas Ramasamy lagi, selain daripada alasan tawaran ‘one off’, nisbah pengambilan semasa berdasarkan kepentingan mata pelajaran teras selain kriteria kriteria B40 mungkin mempengaruhi pengambilan pelajar Cina dan India kelak.

“Saya berharap sangat Kabinet akan melihat kelemahan dalam prosedur kemasukan untuk menerima pakai dasar yang lebih jelas mengenai pengambilan pelajar bukan Melayu pada masa hadapan,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Bersatu sokong penempatan 90% untuk pelajar Bumiputera dikekalkan

Laporan polis terhadap Maszlee