Home Nasional Sudah masanya kita tutup sekolah vernakular

Sudah masanya kita tutup sekolah vernakular

Mohd. Ashraf Mustaqim
Mohd. Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) merasakan inilah masa yang terbaik bagi kerajaan menutup sekolah vernakular.

Ini ada kaitan dengan isu kuota matrikulasi yang kini sedang hangat diperkatakan.

Presidennya, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, melalui penghapusan sekolah vernakular, ia akan dapat memadamkan hipokrasi dan ketidakfahaman pelbagai pihak ditambah atas agenda kepentingan politik yang tidak berteraskan Perlembagaan.

“AGRA merasakan perlu mengasaskan wahana baharu bermula dari benih yang mengakar hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan menyeru penutupan sekolah pelbagai aliran di bawah seliaan kerajaan dan menolak segenap sistem yang nyata bercanggah dengan Sistem Pendidikan Malaysia sebagai contoh, UEC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Ashraf juga mengingatkan setiap pimpinan politik yang suka mengambil kesempatan dan menghalakan sesuatu itu ke arah perkauman untuk menghentikan lolongan mereka.

“Maka atas kesempatan yang sama AGRA turut ingin bertanyakan kepada pimpinan politik bukan Bumiputera ini adakah kalian benar-benar ikhlas apabila bicara soal integrasi nasional dan naratif Bangsa Malaysia?

“Jika benar ikhlas, mereka ini perlu berani untuk menyatakan kesedian bagi menolak sistem sekolah pelbagai aliran yang hakikatnya pula bercanggah dengan perlembagaan bagi mencapai tekad Bangsa Malaysia melalui integrasi kaum, jika tidak mereka ini hanyalah oportunis dan manusia hipokrit yang tiada semangat kenegaraan dan tidak layak menyarung jersi politik mewakili semangat anak Malaysia itu sendiri.

Berbalik kepada isu matrikulasi, AGRA bersetuju untuk memperkasakan lagi keadaan pendidikan orang bukan Melayu di Malaysia atas namun usahlah disentuh hak bumiputera.

“Program matrikulasi sememangnya diwujudkan khas untuk membantu orang Melayu dan bumiputera dan ianya sedikitpun tidak bercanggah dengan mana-mana klausa dalam Perlembagaan,” ujarnya.

Ternyata hal itu, katanya, tidak wajar disentuh oleh mana-mana pihak kerana ianya dinaungi perlembagaan yang merupakan teras negara.

“Apapun selaku warga Malaysia, mana-mana pihak yang ingin mempersoalkan perihal terkait orang Melayu perlu mempertimbangkan juga asas Rukun Negara yang menjadi nadi kepada perlembagaan.

“Kita kena faham konsep Melayu sebagai ‘tiang seri’ dalam membina sebuah rumah yang kukuh,” ujar Mohd. Ashraf.- MalaysiaGazette