Home Utama Jangan kongsi kebencian, berita palsu di media sosial

Jangan kongsi kebencian, berita palsu di media sosial

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim diiringi Pengasas dan Presiden Dewan Media Sosial Malaysia, Shahul Dawood (kiri) ketika hadir pada Minggu Media Sosial Malaysia 2019 (MSMW2019) di Pusat Pemeran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa semua pengguna media sosial tidak berkongsi maklumat yang mengandungi mesej kebencian, kemarahan, membuli dan berita palsu.

Timbalan menterinya, Steven Sim berkata, rakyat Malaysia tidak seharusnya berkongsi mesej-mesej yang mempunyai elemen negatif dan memanfaatkan media sosial sebagai medium membina Malaysia baharu.

“Jangan sampaikan semua dalam media sosial, jangan berkongsi kebencian, kemarahan, membuli dan berita palsu.

“Kenapa perlu kita berkongsi elemen negatif ini? Sedangkan dalam kehidupan sebenar, bila anda melihat orang dipukul, kita tidak buat perkara sama bahkan kita tunjukkan simpati serta beri bantuan.

“Kita sepatutnya melakukan perkara sama dalam media sosial,” katanya berucap merasmikan Minggu Media Sosial Malaysia 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIDEC), di sini hari ini.

MGF24042019_SOCIAL MEDIA WEEK_04
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berucap pada Minggu Media Sosial Malaysia 2019 (MSMW2019) di Pusat Pemeran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 APRIL 2019

Steven selaku Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pemain industri antara pihak yang boleh berperanan awal dengan menghentikan budaya berkongsi maklumat negatif di media sosial.

“Anda semua pemimpin dalam industri, sebahagiannya pula berpengaruh sekaligus anda sendiri boleh mempengaruhi (elemen positif) dalam rangkaian media sosial sendiri,” katanya.

Katanya lagi, mesej-mesej yang merosakkan masyarakat itu akan terhenti sendiri jika netizen tidak lagi berkongsi dengan pengguna media sosial lain.

“Hentikan menyebarkan pepijat ini. Jika tiada siapa yang berkongsi (mesej negatif), ia akan mati secara semulajadi.

“Jangan sampai media sosial menjadi anti media sosial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette