SEREMBAN – Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya hari ini menafikan dakwaan wujudnya dua kem, dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata persepsi tersebut dilakukan pihak luar, yang hanya mahu memburukkan parti Bersatu.
“Jangan salah anggap kerana orang selalu membuat spekulasi tidak benar, dan perkara sebenar yang dibincangkan dalam mesyuarat baru-baru ini adalah untuk membetulkan keadaan. Sebab kita tahu dalam berpolitik ini hanya platform yang paling tertinggi adalah Majlis Kepimpinan Tertinggi, jadi kita panggil bermesyuarat adalah untuk berbincang bagi mengetahui perkara sebenar.
“Alhamdullilah… kita selesaikan dengan baik, tanpa sebarang masalah cuma spekulasi dibuat oleh pihak tertentu menyatakan terdapat dua kem atau tiga kem, adalah tidak wujud sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ASEAN Day 2019 di sini, hari ini.
Tambahnya yang juga merupakan Timbalan Menteri Luar, penubuhan parti Bersatu ini adalah untuk berjuang bersama-sama dalam membina negara.
“Kita tidak perlu nak buat siasatan dalaman mengenai perkara ini sebab memang tidak wujud kem dalam parti seperti didakwa. Itu hanya persepsi orang luar.
“Kita tahu politik tidak jauh dari persepsi. Apa-apa juga persepsi hanya merosakkan segala-galanya, padahal kita tidak apa-apa dan mesyuarat dijalankan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu yang tular di media sosial yang mendakwa wujudnya dua kem melibatkan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan kem Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam parti Bersatu.
“Isu viral tersebut mungkin dilakukan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, jadi kita abaikan…,” katanya.
Semalam, media melaporkan beberapa pemimpin Bersatu hadir ke ibu pejabat parti di Petaling Jaya bagi menghadiri Mesyuarat Khas yang difahamkan dijadualkan pada saat-saat akhir.- BERNAMA