KUALA LUMPUR – Jaguh pecut remaja Muhammad Azeem Mohd Fahmi kini menjadi fenomena gara-gara pecutan pantasnya tular di media sosial.
Melihat prestasi luar biasanya yang baru berusia 15 tahun, ramai netizen berpendapat anak muda itu mampu pergi jauh jika bakatnya digilap.
Anak jati Perak itu berjaya memukau penonton dengan larian pantas 10.63s meninggalkan atlet negeri lain di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang sedang berlangsung di Johor .
Sebagai rekod, Azeem muncul sebagai Putera Pecut Asian pada kejohanan di Filipina Mac lalu, selepas mencatat rekod baharu 10.69s.
Azeem kini dilatih oleh Jurulatih Olahraga Negeri Perak, Muhammad Amir Izwan sejak tiga tahun lalu.
Berikutan rekod terpantas kebangsaan (MSSM) itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Syed menerusi entri di akaun Twitternya berharap atlet ini tidak dibazirkan.
“Malaysia mempunyai Usain Bolt tersendiri. Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) perlu pastikan bakat beliau tidak dibazirkan.”
Rekod 100 meter negara masih menjadi milik Khairul Hafiz Jantan yang dirakam ketika Sukan Malaysia (Sukma) 2016 dengan catatan 10.18 saat. – MalaysiaGazette