Home Nasional Pelabuhan di Malaysia bukan tapak pembuangan sampah

Pelabuhan di Malaysia bukan tapak pembuangan sampah

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan pengendali pelabuhan dan syarikat perkapalan bagi menyemak semula prosedur supaya kapal tidak menjadikan pelabuhan di Malaysia sebagai tempat pembuangan sampah antarabangsa.

Menterinya, Anthony Loke berkata kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bagi memastikan pelabuhan di Malaysia tidak digunakan oleh kapal untuk menyeludup sisa buangan atau menjadi tempat membuang sisa plastik.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kegiatan penyeludupan masuk sisa plastik tercemar ke negara ini susulan penemuan 24 kotena di Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang yang mengandungi bahan tersebut yang tidak boleh dikitar semula.

Menurutnya, Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan beliau akan memanggil satu mesyuarat bersama semua agensi terlibat untuk mengkaji semula prosedur.

“Sudah tentunya kita tidak mahu menjadikan pelabuhan kita sebagai tempat buangan sisa. Kita akan beri kerjasama sepenuhnya kerana ia melibatkan prosedur dan beberapa peraturan melibatkan pelbagai agensi,” kata Loke dalam satu sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Beliau berkata kapal-kapal tidak boleh dilarang daripada singgah di pelabuhan kerana kementerian komited untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi strategik bagi persinggahan kapal perdagangan.

“Kita adalah sebuah negara perdagangan dan mahu menjadikan pelabuhan sebagai hab perdagangan dan pusat pemuggahan. Kita tidak boleh menghantar mesej yang salah kepada syarikat perkapalan,” katanya.- BERNAMA