Home Nasional Petronas diharap hadir prosiding penarikan saman royalti 17 Mei ini

Petronas diharap hadir prosiding penarikan saman royalti 17 Mei ini

Petronas
KOTA BHARU- Kerajaan Kelantan berharap wakil Petronas dan Kerajaan Persekutuan hadir ke mahkamah bagi membolehkan prosiding penarikan saman royalti minyak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Mei ini, dapat diselesaikan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, prosiding yang diadakan 17 April lepas terpaksa ditangguhkan ke 17 Mei disebabkan tiada wakil Petronas dan Kerajaan Persekutuan yang hadir.

“Kerajaan negeri masih menunggu keputusan mengenainya (penarikan saman) disebabkan perkara itu hanya boleh diputuskan di dalam mahkamah…wakil daripada Petronas dan kerajaan persekutuan mesti hadir untuk kita kemukakan (penarikan saman) itu,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Al-Quran Al Karim peringkat Antarabangsa 1440H/2019M di sini malam tadi, Ahmad berkata prosiding yang akan datang adalah pada bulan Ramadan dan semua pihak diharap dapat menghadirkan diri supaya urusan dapat dilaksanakan dengan baik sempena bulan yang mulia itu.

Penarikan saman royalti minyak kerajaan negeri ke atas Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan kerajaan persekutuan sebagai pencelah, hanya dibenarkan jika Petronas bersetuju dengan tindakan tersebut.

Difahamkan, sebelum ini Petronas tidak bersetuju dengan penarikan balik saman kerana tidak mahu Kelantan menyaman mereka semula atas sebab sama pada masa hadapan.

Bagaimanapun, kerajaan Kelantan memberi jaminan tidak akan berbuat demikian sekiranya Petronas dan Kerajaan Persekutuan membayar royalti kepada Kelantan.

Sebelum ini dilaporkan, Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti petroleum kepada Kelantan, selepas proses penarikan saman oleh kerajaan negeri selesai pada April.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata royalti minyak itu akan dibayar terus kepada kerajaan negeri namun selagi proses perundangan di mahkamah tidak selesai, kerajaan persekutuan tidak boleh membayar royalti minyak itu. – MalaysiaGazete