KUALA LUMPUR – Isu tawaran ke program matrikulasi dalam kalangan pelajar India semakin buntu.
Keadaan itu berlaku apabila usaha untuk mendapatkan penjelasan dan bantuan dalam kalangan para pemimpin India dalam menangani isu ini tidak mendapat kerjasama mereka.
Terbaharu, Pemuda MIC Pulau Pinang membuat aduan tidak dibenarkan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy walaupun kehadiran mereka pada awalnya sudah mendapat persetujuan.
Menurut Ketua Pemuda MIC Bayan Baru, Mathis Sarawanan kepada MalaysiaGazette sebentar tadi, pihaknya telah membuat temujanji dengan Ramasamy untuk menyerahkan memorandum serta mengadakan perbincangan berkaitan isu pengambilan matrikulasi.
“Tengahari semalam, saya bersama Pemuda MIC Pulau Pinang, beberapa wakil dari NGO Masyarakat India telah pergi ke Kompleks Kerajaan Negeri Pulau Pinang setelah mendapat kebenaran untuk bertemu dengan Ramasamy, yang juga merupakan Exco Pendidikan Pulau Pinang.
“Kita mahu menyerahkan memorandum isu kemasukan ke program matrikulasi yang menyebabkan pelajar India keliru, gelisah dan tidak senang hati apatah lagi selepas kenyataan daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik baru-baru ini.
“Kita juga gembira kerana Ramasamy sendiri melahirkan rasa tidak puas hati dengan apa yang sedang melanda dalam isu tersebut.
“Jadi dalam pemikiran kami, baguslah jika semua tanpa kira fahaman politik duduk semeja bincang tentang isu ini, lagi-lagi selepas mendapat ‘lampu hijau’ dari pejabatnya untuk bertemu dengan kami.
“Peliknya, lain pula yang berlaku. Sejurus sampai di pintu perkarangan, secara tiba-tiba kami dihalang masuk pula oleh penguatkuasa. Bukan sekadar itu, pintu utama kemasukan ke Kompleks Kerajaan Negeri turut ditutup semata mata bagi menghalang kami sedangkan kami sudah pun membuat temu janji.
“Alasan diberikan juga tidak masuk akal, kononnya SOP Keselamatan, persoalan saya apakah kumpulan kami yang hanya lima orang ini merupakan satu ancaman keselamatan negara sehingga perlu diperlakukan sedemikian rupa? Tidak faham langsung.
“Lepas hampir 30 minit, barulah kami dibenarkan masuk sehingga bahagian lobi tetapi yang turun ambil memorandum bukan Ramasamy, sebaliknya pegawai yang berjanji akan menyerahkan kepada pihak berwajib.
“Apakah ini? Saya pasti Ramasamy adalah pemimpin yang sangat sibuk sekali tapi retorik, apabila anda begitu lantang bercakap dan mengkritik tentang isu ini tetapi untuk bertemu dengan pihak yang juga berjuang tentang perkara ini tidak pula di layan walaupun hanya sekadar lima, 10 minit masa kamu,” katanya.
Jelas Mathis lagi, walaupun MIC adalah parti pembangkang namun ia bukan lesen untuk dilayan sebegitu rupa oleh Ramasamy.
“Sebelum ini dengan begitu hebat mengatakan kami (MIC Pulau Pinang) boleh datang berjumpa dengan anda tentang isu masyarakat India pada bila-bila masa. Adakah ini ‘wayang’?
“Ingin saya tekankan di sini, ini yang akan berlaku apabila diberikan kuasa sepenuhnya. Yang hebat juga boleh melakukan kesilapan seperti ini. Jangan fikir kuasa yang anda ini akan kekal selamanya.
“Ingat dulu kita ada tawaran kemasukan sehingga 2,200 untuk program matrikulasi, kini 150 hingga 300 itu juga sudah menjadi satu tanda soal. Untuk apa ada pemimpin yang gah bercakap tentang perjuangan jika begini caranya mengendalikan isu penting yang sebenarnya soal masa depan generasi akan datang
“Prof, janganlah hanya sekadar pandai keluarkan kenyataan demi kenyataan tetapi tidak ada komitmen yang sewajarnya pada masa yang sama,” tegasnya.
Isnin lepas, Ramasamy dalam kenyataan menegur Parti Pribumi Bersatu Malaysia, selain daripada alasan tawaran ‘one off’, nisbah pengambilan semasa berdasarkan kepentingan mata pelajaran teras selain kriteria kriteria B40 mungkin mempengaruhi pengambilan pelajar Cina dan India kelak.
“Saya berharap sangat Kabinet akan melihat kelemahan dalam prosedur kemasukan untuk menerima pakai dasar yang lebih jelas mengenai pengambilan pelajar bukan Melayu pada masa hadapan,” kata Ramasamy. –MalaysiaGazette
Nampaknya pemikiran Bersatu juga tidak ubah seperti UMNO – DAP