PUTRAJAYA – Sepasang suami isteri yang kehilangan anak bongsu mereka yang berusia setahun 16 hari pada 29 Mac lalu memfailkan saman terhadap Hospital Gua Musang atas dakwaan kecuaian memberi rawatan.
Kuang Choon Lai, 51 mendakwa anaknya, Kelvin Kuang Yu Zhe, meninggal dunia kerana tidak dirawat oleh hospital tersebut walaupun telah menunggu selama hampir empat jam di bahagian kecemasan kerana mengalami cirit birit dan demam.
“Saya hantar anak daripada pukul 6.40 petang sampai hampir jam 11 malam masih tidak ada rawatan. Selepas itu melihat keadaan anak saya ingin menyusu justeru saya bawa balik sebab sudah menunggu terlalu lama pada 28 Mac. Anak saya menangis kuat kerana mahu menyusu.
“Saya tak puas hati kerana menunggu lama sedangkan orang lain yang lewat daripada saya menerima rawatan dahulu.
“Saya terpaksa membawa anak saya pulang dan semasa saya mengambil kad perubatan anak saya, doktor tidak mengatakan apa-apa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Kementerian Kesihatan hari ini.
Choon Lai semakin kecewa apabila mendakwa doktor yang sepatutnya merawat anaknya mengaku kesilapan berpunca daripada kecuaiannya yang memandang remeh keadaan Kelvin namun tidak membuat permohonan maaf.
“Keadaan anak saya selepas itu semakin buruk ketika di rumah dan saya membawanya sekali lagi ke hospital, anak saya disahkan meninggal kerana several dehydration pada 6:20 pagi selepas bedah siasat,” katanya sambil menambah Kelvin disahkan meninggal dunia pada 30 Mac.
Isterinya, Tuink Sui Eng 40 tahun yang nyata paling terkesan kehilangan anak kelimanya itu mahu kerajaan memberi keadilan kepada keluarganya.
Dalam masa yang sama, Sui Eng berharap tindakan yang diambil dapat memberikan pengajaran kepada semua hospital pada masa depan.
Justeru beliau yang diwakili peguamnya, Kamarudin Ahmad akan menyaman hospital itu termasuk Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan.
Sementera itu, beliau yang ditemani Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Tony Tan Chee Chong menyerahkan memorandum kepada kementerian itu sebentar tadi agar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad memberikan perhatian sewajarnya berkenaan perkara ini.
Memorandum diterima oleh Setiausaha Akhbar Dzulkefly iaitu Ismail Amsyar Mohd Said. – MalaysiaGazette