Home Utama Ketepi perselisihan antara kerajaan Pusat dan Johor – Sultan Ibrahim

Ketepi perselisihan antara kerajaan Pusat dan Johor – Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor bertitah agar perselisihan atau salah faham membabitkan hubungan antara Johor dan Kerajaan Pusat perlu diketepikan.

Sultan Ibrahim Iskandar dalam masa yang sama menyarankan agar semua pihak mengenepikan perbezaan, sebaliknya bekerjasama di antara satu sama lain demi kebaikan rakyat.

“Atas sebab itu juga, sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham, terutamanya yang melibatkan hubungan antara Negeri Johor dan Kerajaan Pusat, saya sarankan kita ketepikan sebarang perbezaan. Sebaliknya, eloklah berjumpa dan saling berbincang dengan matang demi kebaikan semua, khususnya rakyat,”titah baginda.

Baginda yang baharu sahaja menyempurnakan pelantikan Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) itu berharap agar tumpuan diberikan untuk membangunkan Johor.

Pemimpin juga ujarnya perlu berusaha demi kepentingan rakyat.

“Saya harap selepas ini tumpuan akan diberikan kepada ikhtiar membangun dan memajukan Johor.

“Justeru, kepemimpinan baharu harus bersatu hati dan melipat gandakan usaha supaya kebajikan serta kepentingan rakyat Johor ditambah baik dan sentiasa terbela,” tambah baginda.

Exco Johor dirombak baru-baru ini susulan pelantikan Menteri Besar Johor baharu, Dr Shahruddin Jamal yang menggantikan Datuk Osman Sapian.

DUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi (Bersatu) pula dilantik memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

Manakala, ADUN Jementah, Tan Chen Choon (DAP) pula memegang portfolio Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar.

Dua Exco digugurkan iaitu ADUN Skudai, Tang Hong Pin yang sebelum ini menjawat portfolio Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tang Hong Pin serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri. – MalaysiaGazette