Home Nasional Najib tidak pernah persoal Ambank – Saksi

Najib tidak pernah persoal Ambank – Saksi

Datuk Seri Najib Tun Razak. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memiliki akuan peribadi di Ambank tidak pernah memfailkan sebarang notis terhadap bank itu untuk apa-apa kesilapan, percanggahan, penipuan atau sebarang pengeluaran tidak sah.

Perkara itu didedahkan oleh Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi yang juga merupakan saksi-21 dalam prosiding Najib berhubung SRC International di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Kata Uma Devi, tidak ada sebarang rekod yang menunjukkan Najib pernah bertindak memfailkan notis sedemikian ketika soalan tambahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk V. Sithambaram.

“Sebagai Pengurus cawangan Ambank Raja Chulan, adakah anda sedar sebarang notis oleh Najib kepada Ambank memaklumkan sebarang kesilapan, percanggahan atau transaksi tidak sah sebelum ini?

“Berdasarkan rekod, ada sebarang aduan bertulis? Sebarang tindakan perundangan diambil oleh Najib berdasarkan tiga akaunya?,” soalnya.

Uma Devi menyatakan tidak untuk setiap persoalan tersebut.

Jelas Uma Devi, kesemua transaksi telah dilakukan dengan betul sejak akaun itu dibuka pada Julai 2013 sehingga ditutup pada Mac 2015. –MalaysiaGazette