Home Nasional 500,000 penduduk luar bandar dapat manfaat – Rina

500,000 penduduk luar bandar dapat manfaat – Rina

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap ketika sidang media sempena setahun Pakatan Harapan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Seramai 500,000 penduduk luar bandar telah mendapat manfaat daripada Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018 hingga 2023.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kerajaan sentiasa komited dan memberi tumpuan bagi memastikan rakyat segenap lapisan dapat menikmati pembangunan ekonomi negara.

Menurut beliau, banyak program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kementerian yang diterajuinya demi memberi manfaat besar kepada golongan sasar.

“Berdasarkan program-program yang dibuat kementerian seramai 500,000 orang telah mendapat manfaatnya.

“Apa yang menjadi falsafah dan matlamat perjuangan saya ialah merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar yang tidak hanya terbatas kepada infrastruktur.

“Malah dari segi ekonomi dan penjanaan modal insan, penggunaan teknologi baharu memenuhi keperluan jangka masa panjang,” katanya.

Rina berkata demikian pada sidang media khas menjelang setahun kerajaan Pakatan Harapan menerajui negara di kementeriannya baru-baru ini.

MGF240419_SETAHUN PAKATAN HARAPAN RINA HARUN12
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun menunjukkan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018-2023 ketika sidang media sempena setahun Pakatan Harapan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 APRIL 2019

Rina menjelaskan mengenai Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar 2018 hingga 2023 dengan tema Luar Bandar Sejahtera.

Tambah beliau, ia merangkumi 29 strategi dan 94 program yang akan dilaksanakan di bawah enam teras iaitu prasarana, ekonomi, keusahawanan, modal insan, wanita dan sistem penyampaian.

Rina merupakan muka baharu dalam kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau membuat kejutan apabila menjadi giant killer pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu apabila memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa.

Ketua Srikandi Bersatu itu menumbangkan calon Barisan Nasional dan penyandang kerusi, Datuk Johari Abdul Ghani yang juga bekas menteri kewangan kedua serta Mohamad Noor Mohamad dari Pas. – MalaysiaGazette