Home Utama Daripada bawa K-Pop lebih baik tumpu nasib industri hiburan negara – Seniman

Daripada bawa K-Pop lebih baik tumpu nasib industri hiburan negara – Seniman

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Hasrat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk  membawa kumpulan K-Pop popular ke Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 tidak membawa apa-apa kebaikan kepada industri hiburan di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Seniman Malaysia yang memandang serius cadangan dan usaha tersebut meminta supaya pihak kementerian serta Perbadanan Stadium Malaysia melihat semula hasrat tersebut.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya memberi tumpuan kepada artis, penyanyi, pelakon, pelawak, pemuzik serta warga industri kreatif keseluruhannya supaya dapat menjana pendapat yang mampu membantu meningkatkan KDNK negara.

“Dan secara tidak langsung para pemain industri ini mendapat pekerjaan di dalam negara sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hafiz berkata, Seniman juga berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat menumpukan tentang permasalahan yang sekian lamanya tidak dapat diselesaikan membabitkan hak harta intelek para pelakon dan perumahan.

Dan yang paling penting, katanya, adalah menwujudkan akta industri kreatif agar para pengiat industri ini lebih terjamin dimasa hadapan.

“Seniman mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Belia & Sukan serta Perbadanan Stadium Malaysia atas keperihatinan yang diberikan,” katanya.

Baru-baru ini Syed Saddiq Syed memberitahu pihak mereka dalam usaha bagi membawa kumpulan K-Pop BTS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Namun usaha dan kerjasama bersama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes itu mendapat banyak maklum balas negatif netizen termasuk selebriti tanah air. – MalaysiaGazette