Home Ekonomi MSM eksport 7,000 tan gula ke China

MSM eksport 7,000 tan gula ke China

Gula tapis MSM yang diangkut secata pukal cerai di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor

KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), pengeluar gula bertapis terkemuka negara mengeksport sejumlah 7,000 tan gula bertapis ke China.

Penghantaran itu melalui MSM Johor mula beroperasi sepenuhnya sejak November 2018, membuka ruang kepada Kumpulan MSM  memenuhi permintaan domestik dan mempertingkatkan jualan eksport pada harga yang kompetitif berdasarkan lokasi strategik yang terletak di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Ia dijangka mengurangkan kos bagi keseluruhan rantaian nilai berikutan kemudahan pelabuhan strategik, menyumbang kepada penjimatan kos.

Di samping itu, ia mengurangkan tenaga kerja yang intensif melalui penggunaan teknologi yang canggih dan berfungsi secara automatik sepenuhnya.

Penghantaran pukal cerai ini mengurangkan kos logistik, yang mana gula bertapis MSM di angkut di dalam beg jumbo seberat 1.5 tan bagi memudahkan proses pemuatan.

Breakbulk Shipping 1_MSMHoldings
Kaedah pukal cerai lebih menjimatkan.

Selain itu, penghantaran pukal cerai juga memudahkan kargo untuk memasuki pelabuhan kurang membangun memandangkan kapal kontena yang besar tidak dapat memasuki sesetengah pelabuhan.

Operasi pukal cerai melalui jeti Pelabuhan Tanjung Langsat melibatkan kerjasama di antara MSM Johor dan FGV Transport Services Sdn Bhd, yang juga merupakan anak syarikat FGV, bagi menggunakan sumber kumpulan secara efektif.

MSM mensasarkan untuk mengeksport lebih daripada 300,000 tan gula bertapis dan lain-lain produk berkaitan gula ke rantau Asia Pasifik, sejajar dengan Pelan Perniagaan 2019-2021.

Pelan itu turut merangkumi pengeksportan ke pasaran Asia dalam mengekalkan kepimpinan dalam pasaran ke arah menjadi antara 10 syarikat gula terbaik di peringkat dunia menjelang tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM yang baharu dilantik, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, penghantaran secara pukal cerai adalah sebahagian daripada model perniagaan baharu yang memberikan fokus kepada mengekalkan disiplin kos dan kecekapan operasi dalam aktiviti perniagaan.

Ia merangkumi perolehan gula mentah, gudang luar serta kos bagi pengangkutan, penapisan dan kewangan.

“Kelebihan kilang penapisan yang strategik di Johor serta inisiatif penghantaran pukal cerai tersebut memberikan peluang buat MSM untuk
mengeksport gula bertapis pada harga yang sangat kompetitif.

“Dengan kilang penapisan kami di Johor, MSM mempunyai keupayaan untuk memenuhi permintaan dalam negeri dan memperluaskan bahagian pasaran kami di peringkat eksport sambil meneroka aliran pendapatan tambahan,” tambah beliau.

Khairil, yang mula bekhidmat di MSM sebagai sebagai Pengarah Eksekutif sejak November 2017 telah menggantikan Mohd Shaffie Said yang mengambil tugas sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak Januari 2018, juga turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi FGV bagi sektor gula. – MalaysiaGazette