KUALA LUMPUR- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mengakui menerima banyak rungutan daripada pemaju dan pembeli yang sukar mendapat pembiayaan pada jumlah yang sepatutnya.
Menurut Presidennya, Datuk Soam Heng Choon, kebanyakan masalah berlaku kepada rumah-rumah berharga RM300,000 ke bawah.
“Rumah mampu milik dan mewah jarang mengalami masalah pembiayaan.
“Cuma hartanah berkos rendah iaitu berharga RM300,000 ke bawah agak mencabar (untuk mendapatkan pembiayaan).
“Isu utama bukanlah tidak mendapat pembiayaan langsung tetapi kesukaran untuk mendapatkannya pada margin yang sepatutnya,” katanya semasa sidang media selepas perasmian Kempen Pemilikan Rumah- Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (HOC-MAPEX) di sini hari ini.
Tambah Soam, kira-kira kurang 50 peratus daripada pembeli rumah tidak mendapat margin pembiayaan yang sepatutnya.
Terdahulu semasa ucapannya, Soam menjelaskan, harga rumah yang tinggi adalah disebabkan oleh banyak perkara antaranya kos pematuhan yang meningkat setiap tahun.
Selain itu, masalah pendapatan isi rumah yang tidak berkembang seiring dengan kos sara hidup juga menjadi penyumbang besar kepada kesukaran pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di negara ini.
Bagaimanapun, Rehda katanya, akan terus mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu itu.
“Dengan itu, kami amat memerlukan sokongan dari pihak kerajaan.
“Harapan kami agar kos-kos yang tidak munasabah itu dapat dikaji semula atau dihapuskan agar penjimatan ini dapat kami salurkan kepada pengguna,” katanya.-MalaysiaGazette