KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Diana Danielle meluahkan rasa tidak puas hati di akaun Instagram miliknya terhadap tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa mengenakan sekatan ke luar negara akibat mempunyai tunggakan cukai pendapatannya dianggarkan sebanyak RM350,000.
Isteri kepada pelakon Datuk Farid Kamil melalui hantaran Instagram Story mendakwa LHDN tidak berhak meminta dia membayar tunggakan cukai pendapatan itu sehingga agensi terbabit membayar ‘hutang’ sebanyak RM100,000 kepadanya yang dituntut sejak setahun lalu.
Pelakon yang popular dengan watak antagonis dalam drama Raisha itu mendakwa dia diminta membayar RM350,000 oleh LHDN sedangkan dia belum mengemukakan sebarang dokumen.
Bagaimanapun, hasil perbincangan Diana bersama LHDN menyebabkan jumlah itu dikurangkan kepada RM150,000.
Malah, dia mendakwa LHDN memintanya membayar secara ansuran sebanyak RM11,000 setiap bulan.
Diana memaklumkan dia hanya mengetahui dirinya dikenakan sekatan ke luar negara ketika mahu ke Jepun atas urusan kerja, baru-baru ini.
Bagaimanapun, dia diminta membuat bayaran ‘upfront’ sebanyak RM70,000 terlebih dulu bagi membolehkan dirinya dibenarkan ke luar negara. – MalaysiaGazette