KUALA LUMPUR – Perenang negara, Welson Sim mencipta rekod kejohanan dalam acara kegemarannya untuk merangkul emas pertama pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2019 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini, semalam.
Perenang dari Sarawak itu mencipta masa 3 minit 50.32 saat bagi memadam rekod 3:53.32s milik Kelvin Yap dalam acara 400m gaya bebas.
Perenang berusia 22 tahun itu berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian itu walaupun catatan masa tersebut ketinggalan 1.03 saat daripada rekod kebangsaan miliknya.
Ditanya mengenai perancangannya, beliau berkata akan memberi tumpuan kepada Terbuka Singapura pada Jun ini sebelum menghadapi kejohanan dunia, sebulan kemudian.
“Saya sedang menjalani latihan di Melbourne, Australia, sejak tiga bulan lalu dan sasaran utama tahun ini adalah untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Terbuka Singapura dan Kejohanan FINA Dunia ke-18, Julai ini,” katanya yang akan kembali ke Melbourne selepas kejohanan di sini.
Sementara itu, catatan masa oleh Welson hari ini turut melepasi masa kelayakan untuk kejohanan dunia dalam kategori B bagi acara 400m gaya bebas iaitu 3:56.14s.
Kejohanan dunia edisi ke-18 akan berlangsung di Gwanju, Korea Selatan dari 12 hingga 28 Julai ini.
Selangor menguasai hari pertama kejohanan dengan merangkul dua pingat emas menerusi acara 4×100 rampaian berganti-ganti lelaki dan wanita diikuti satu emas masing-masing oleh Sarawak dan Johor. – MalaysiaGazette