Home Utama Flat retak di Keramat, lebih 200 penghuni diarah pindah

Flat retak di Keramat, lebih 200 penghuni diarah pindah

Keretakan di Blok F di Flat Taman Keramat Permai.

KUALA LUMPUR – Seramai 222 penghuni bangunan 4 tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, susulan penemuan keretakan di bangunan itu sejak tengah hari semalam.

Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata semua penghuni daripada 37 keluarga itu dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat sebagai langkah keselamatan.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya mengesyorkan semua penghuni blok ini mengosongkan bangunan dan pihak polis akan menguatkuasakan kawalan keselamatan agar tiada penduduk berada di blok ini memandangkan keretakan masih aktif,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam tadi.

Beliau berkata pemantauan akan diteruskan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Malaysia.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk blok berkenaan mula mengosongkan bangunan itu sejak pukul 10.30 malam.

Mereka antaranya dilihat membawa beg pakaian dan barang keperluan lain menuruni tangga di blok kediaman 4 tingkat itu.

Menurut seorang penduduk, Sukiman Mukni, 72, keretakan itu dipercayai berlaku susulan hujan lebat sejak semalam.

“Pagi ini keretakan semakin merebak dan kami rasa tidak selamat,” katanya yang menetap di kawasan kediaman itu sejak 28 tahun lepas.

— BERNAMA