Home Dunia Juruterbang diselamatkan, pesawat mendarat atas pokok

Juruterbang diselamatkan, pesawat mendarat atas pokok

MCCALL, Idaho – Seorang juruterbang yang cuba melakukan pendaratan cemas di sebuah padang pendaratan di Idaho, Amerika Syarikat mendaratkan pesawat ringannya dalam keadaan terbalik di atas pokok berketinggian 18 meter.

Juruterbang, John Gregory tidak mengalami kecederaan dalam insiden malam Isnin lalu apabila pesaswat Piper Cub PA-18 hilang kuasa dan sayapnya tersangkut di pokok, menurut bomba di bandar peranginan McCall.

Gregory diselamatkan dari atas pokok fir oleh sukarelawan bomba, Randy Acker yang juga pemilik syarikat yang menjalankan aktiviti penebangan pokok, lapor AP.

“Saya fikir saya perlu panjat dan lihat apa yang berlaku,” kata Acker.

Gregory berjaya dibawa turun dengan selamat manakala pesawat tersebut masih tersangkut di atas pokok.

“Sayapnya berada betul-betul di tengah-tengah puncak pokok itu,” kata Ketua Bomba McCall, Brandon Swain.

Kipas dan salah sebuah tayar pesawat tersebut jatuh atas tanah namun bahagian lain masih berada di atas pokok.

Acker memotong dahan pokok untuk membolehkan beliau sampai pada ketinggian 6 meter daripada puncak untuk menyelamatkan Gregory.

“Saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini. Saya gembira dapat membantu,” kata Acker.

Para pegawai cuba mengenalpasti kaedah untuk mengalihkan pesawat tersebut dan memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan itu. – Agensi