“Bagi golongan berkemampuan, mereka boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri sendiri dan tanggungan,” jelas kenyataan itu.
Kadar zakat fitrah bagi golongan itu adalah sebanyak RM14 seorang bagi beras lima kilogram bernilai RM13 hingga RM44 manakala RM21 seorang bagi jenis beras lima kilogram melebihi RM44.
“Bagaimanapun, kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7 adalah sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat di Selangor,” menurut kenyataan itu.
Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini, seramai 2,754 penolong amil fitrah telah dilantik di seluruh negeri berkenaan.
Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 cawangan LZS yang dibuka setiap hari termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat mengambil kesempatan menunaikan kewajipan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, waktu urusan cawangan LZS pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Di samping itu, bayaran zakat fitrah juga boleh ditunaikan di beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang serta melalui 14 penolong amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 15 penolong amil Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di seluruh Selangor. – Bernama