KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama sedang berunding dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memasukkan spesifikasi kenderaan ‘B20/B30-ready’ dalam Dasar Automotif Nasional (NAP).
Menterinya, Teresa Kok Suh Sim berkata, pihaknya sedang membuat persiapan untuk menghasilkan biobahan api sawit bagi industri penerbangan.
“Ini untuk memenuhi komitmen sebagai anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk menerima pakai dan melaksanakan Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) yang bertujuan untuk menangani pelepasan karbon dioksida (CO2) bagi sektor penerbangan antarabangsa.
“Ini satu pendekatan yang inovatif dan mesra kepenggunaan. Selari dengan komitmen menyokong kelestarian alam sekitar berdasarkan regulasi CORSIA, syarikat penerbangan yang menghasilkan CO2 melebihi 10,000 tan setahun perlu melaporkan data pelepasan karbon mulai Januari 2019 untuk pemantauan,” katanya dalam taklimat media sempena sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Kok berkata, regulasi ini akan diwajibkan kepada semua penerbangan antarabangsa mulai tahun 2027.
Penggunaan biojet sawit telah diterima oleh CORSIA sebagai antara inisiatif untuk pengurangan pelepasan karbon.
Program biodiesel dan biojet ini merupakan satu pendekatan inovatif dengan peningkatan penggunaan biodiesel sawit mesra alam melalui Program B10 (adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum) bagi sektor pengangkutan mulai 1 Februari lepas.
Manakala Program B7 diperkenalkan bagi sektor industri bermula 1 Julai 2019.
“Rancangan peningkatan biodiesel ini sebenarnya telah ditangguhkan sejak 2016 tetapi selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, kita telah memastikan ia dilaksanakan dengan segera untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan juga meningkatkan penggunaan minyak sawit negara.
“Kedua-dua program ini dijangka akan menggunakan sebanyak 761,000 tan minyak sawit setahun.
“Malah, kementerian sedang membuat persiapan untuk melaksanakan program B20/B30 seawal tahun 2020 dan satu sesi kerjasama dengan pihak berkepentingan industri dan kementerian seperti MITI dan Kementerian Pengangkutan sedang giat dijalankan,” katanya. – Bernama