Home Utama Dahulukan penghibur tempatan bukan luar negara – Rais

Dahulukan penghibur tempatan bukan luar negara – Rais

Pengasas dan Penaung Jaringan Masyarakat Minangkabau Malaysia (JM3), Tan Sri Dr. Rais Yatim meluangkan masa melihat pelbagai jenis "Kuciang" semasa melawat tapak pameran pada Majlis Perasmian Pesta Seni Budaya dan Warisan Minangkabau di Muzium Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Dahulu dan utamakan penghibur tempatan yang lebih berbakat.

Itu teguran daripada Tan Sri Rais Yatim kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baru-baru ini menerima kecaman apabila berhasrat membawa kumpulan k-pop ke negara ini untuk membuat persembahan.

Meskipun tidak menjadi kesalahan untuk memberi peluang penghibur daripada negara lain namun jelas Rais yang pernah memegang portfolio sebagai Menteri Penerangan, Kominukasi dan Kebudayaan itu – anak seni dalam negara berhak untuk tidak dipinggirkan daripada menjadi pilihan.

“Pandangan umum itu patut kita terima baik, umum sekarang melihat negara ini sebagai cukup matang dan cukup daya tariknya.

“Perlu kita beri keutamaan kepada penghibur kita dan kita boleh cari penghibur kita yang handal-handal seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, kita ada rakan-rakan Tionghua semua ini ada daya tarikan sendiri.

“Apa kata kalau kita dahulukan mereka ini dan  jika kemudian kita bawa dari luar tidak mengapa tapi jangan dahulukan mereka yang di luar sehingga pucuk kita yang ada tidak mendapat perhatian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Muzium Negara hari ini.

Tambah Rais, negara mempunyai banyak bakat yang mampu menghiburkan rakyat dalam masa yang sama menarik pelancong luar.

“Ini bukan berkata dalam soal politik tapi bidang penilaian seni budaya kita kalau bukan kita yang mendahulukan penghibur kita siapa lagi?”  soalnya lagi.

Justeru Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu berharap agar Syed Saddiq yang mengetuai sayap kepimpinan Armada boleh menilai perkara ini dan mengambil langkah yang wajar.

“Pemuda atau Armada Bersatu akan boleh menyesuaikan perkara ini dengan gerak kerja mereka, kita beri pandangan ini dalam keikhlasan dan kesedaran bahawa di Malaysia kita cukup mempunyai bakat yang beh menarik lebih ramai orang.

“Dan jika itu kita laksanakan, kita boleh mewujudkan jenis tarikan hiburan yang kita perlukan,” ujar Rais.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Perlu berani fikir luar kotak, Syed Saddiq nak ubah trend