
KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia dijangka bergerak lebih tinggi dan menguji semula paras 1,650 pada minggu depan, berikutan pelabur menjangka lebih banyak pengumuman positif daripada lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata peserta pasaran berharap lebih banyak projek akan dilibatkan untuk sektor infrastruktur dan pembinaan berikutan ini akan meningkatkan pertumbuhan pembangunan dalam kedua-dua sektor itu dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan pada masa depan.
“Walaupun dana asing kekal penjual bersih pada awal minggu ini, perubahan trend dilihat sejak dua hari lepas apabila kami melihat aliran masuk bersih.
“Kami fikir ini boleh menjadi permulaan kepada pengurangan jualan besar-besaran dalam dana,” katanya kepada Bernama.
Yee berkata bursa tempatan turut menyaksikan peningkatan dalam belian bagi saham pembinaan dan permodalan kecil, walaupun saham kaunter ini merosot disebabkan pengambilan untung.
Selain itu, katanya cakap-cakap bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) boleh menjadi peluang kepada pelabur untuk membeli, berikutan harga saham akan menjadi lebih murah berikutan penyusutan.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Khan berkata FBM KLCI dijangka bergerak rendah kepada paras 1,620 hingga 1,630 minggu depan berikutan jangkaan lebih banyak aliran keluar dana asing.
Ini disebabkan ekonomi global dan domestik yang lembap, yang mendorong pelabur antarabangsa memindahkan peruntukan aset mereka kepada yang selamat seperti bon dan pasaran wang.
“Dalam perkembangan lain, nilai dolar AS yang meningkat menjadikan barangan lebih mahal, dan kita akan menyaksikan komoditi kita seperti minyak sawit merosot dan ringgit menyusut.
“Bukan sahaja Malaysia akan menyaksikan aliran keluar, tetapi juga pasaran serantau. Misalnya, China, Jepun dan Hong Kong pada minggu ini yang menyaksikan minggu paling kurang memberangsangkan dalam pasaran saham mereka sejak Oktober tahun lalu,” katanya kepada Bernama.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit merosot kepada 4.1310/1340 berbanding dolar US daripada 4.1300/1350 sebelum ini.
Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan kebanyakannya tinggi susulan keyakinan mengenai pelaksanaan semula projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia serta menjejaki prestasi Wall Street.
Ekovest merupakan saham paling aktif diniagakan pada minggu ini. Ia ditutup tidak berubah pada 94.5 sen pada Jumaat dengan 111.24 juta saham bertukar tangan.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI naik 16.31 mata kepada 1,638.38.
Indeks FBM Emas meningkat 168.58 mata kepada 11,665.81, Indeks FBMT 100 naik 152.24 mata kepada 11,477.12 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 195.90 mata kepada 11,885.92.
Indeks FBM Ace melonjak 100.99 mata kepada 4,793.84 dan FBM 70 menambah 348.22 mata kepada 14,730.73.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 136.20 mata kepada 16,881.46, Indeks Perladangan meningkat 69.56 mata kepada 7,298.47 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 3.71 mata kepada 172.01.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 19.50 bilion unit bernilai RM13.10 bilion daripada 14.13 bilion unit bernilai RM9.25 bilion pada Jumaat lalu.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 15.56 bilion saham bernilai RM12.36 bilion daripada 9.32 bilion saham bernilai RM8.41 bilion.
Jumlah dagangan waran susut kepada 1.87 bilion unit bernilai RM342.41 juta daripada 2.03 bilion unit bernilai RM430.00 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 2.06 bilion saham bernilai RM397.52 juta daripada 2.78 bilion saham bernilai RM409.25 juta. – BERNAMA