Home Nasional Kehilangan Zahiruddin: Lebih 30 saksi dipanggil polis

Kehilangan Zahiruddin: Lebih 30 saksi dipanggil polis

SEMENYIH – Lebih 30 individu diambil keterangan berhubung kes kehilangan kanak-kanak lelaki, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra, Bangi, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kesemua individu yang dipanggil terdiri daripada anggota keluarga serta rakan sekelas Muhammad Zahiruddin Putra.Beliau berkata pencarian kanak-kanak berusia lapan tahun berkenaan, tidak pernah dihentikan dan sedang dipergiatkan di luar daerah Kajang.

“Kawasan pencarian kini bertambah luas dengan tertumpu di seluruh kawasan Kajang selain daerah-daerah berhampiran selepas operasi mencari dengan bantuan pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) sebelum ini gagal mengesan kanak-kanak itu,” katanya selepas ditemui di ‘Superheroes Challenge’ sempena Hari Polis ke-212, di sini.

Ahmad Dzaffir berkata pihaknya masih belum menemui sebarang petunjuk positif berhubung lokasi kanak-kanak berkenaan.

“Kami menyiasat semua aspek termasuk unsur jenayah bagi merungkai misteri kehilangan Muhammad Zahiruddin Putra.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Farah Nadia Mohd Hashim di talian 012-3600232 atau menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Muhammad Zahiruddin Putra dilapor keluar dari rumahnya pada kira-kira pukul 8 pagi, Isnin lepas untuk bermain, dan sejak itu tidak pulang ke rumah.Mohd Fauzi juga sudah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu pada hari sama.- BERNAMA