Home Nasional KKM beri penerangan setiap hari isu TH

KKM beri penerangan setiap hari isu TH

Pengasas dan Penaung Jaringan Masyarakat Minangkabau Malaysia (JM3), Tan Sri Dr. Rais Yatim meluangkan masa melawat tapak pameran pada Majlis Perasmian Pesta Seni Budaya dan Warisan Minangkabau di Muzium Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) perlu membantu kerajaan dalam memberi penerangan kepada rakyat tentang pembaharuan yang dibuat dalam Tabung Haji (TH).

Kata bekas menteri KKM,  Tan Sri Rais Yatim, sesi penerangan menerusi pelbagai platform perlu dilakukan setiap hari agar rakyat faham sebab tindakan diambil kerajaan khususnya pengurangan hibah yang diumumkan baru-baru ini.

“KKM harus setiap hari mengutarakan apa yang sedang dilaksanakan apa yang telah dilaksanakan agar rakyat faham apakah dividen yang setakat ini diterima dan masa depan,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Muzium Negara hari ini.

Tambah Rais, meskipun hibah TH berkurangan namun kemasukan modal perlu dibanggakan apabila mencecah RM1 bilion.

“Sebenarnya soal TH sudah dijawab walaupun hibahnya agak rendah kali ini namun kemasukan modal sudah hampir RM1 bilion.

“Jadi ini testimoni yang penting yang harus kita fikir ialah institusi seperti itu jangan diusik menerusi kuasa politik,” tambah Rais.

Bekas Pengerusi Parti Peibumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan itu memuji tindakan Perdana Menteri , Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menerangkan TH hanya diuruskan oleh orang profesional.

Pada 5 April yang lalu, Lembaga TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Kadar hibah yang diumumkan itu adalah agihan terendah dalam sejarah setakat ini.-MalaysiaGazette