Home Nasional Pembantu Zakir Naik ditahan didakwa hina agama Hindu

Pembantu Zakir Naik ditahan didakwa hina agama Hindu

Muhammad Zamri Vinoth
Muhammad Zamri Vinoth

KUALA LUMPUR – Pembantu kepada pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik ditahan polis kerana didakwa menghina agama Hindu.

Muhammad Zamri Vinoth yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di Arau kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd. yang memberitahu siasatan dilakukan oleh Bukit Aman dan polis Perlis hanya melakukan tangkapan terhadap lelaki itu, lapor sebuah laman portal.

Penahanan ke atas Muhammad Zamri itu dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melibatkan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci, niat jahat, memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Muhammad Zamri didakwa membuat kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap agama Hindu dalam satu video yang tular di laman sosial.

Akibat perkara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Muhammad Zamri yang didakwa menghina agama Hindu. – MalaysiaGazette