Home Ekonomi TNB belanja RM15.4 bilion untuk pembangunan vendor

TNB belanja RM15.4 bilion untuk pembangunan vendor

Tan Sri Leo Moggie

KUALA LUMPUR-Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah membelanjakan RM15.4 bilion dalam pembangunan vendor sejak 1994.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie, suntikan terhadap ekonomi domestik dilakukan dalam bentuk pemberian kontrak kepada vendor termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, TNB memainkan peranan penting di dalam menyokong pembangunan vendor tempatan.

“Ada di antara mereka telah pun mampu menjual produk ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Menurut Leo, sejak 2014, separuh daripada pemerolehan TNB diberikan kepada vendor tempatan.

Katanya, TNB juga memainkan peranan penting di dalam pembangunan sumber manusia sejak penubuhannya pada 1951 atau ketika itu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN).

Ketika itu, agensi berkenaan memberikan biasiswa kepada pelajar Melayu untuk mengikut kursus-kursus di Kolej Teknik Brighton, England.

“Dari mula sehingga kini, kami masih mengekalkan pemberian biasiswa dan sokongan pendidikan sebagai salah satu komponen tanggung jawab sosial (CSR) TNB,” katanya.

Gergasi utiliti itu menerusi penubuhan Yayasan Tenaga Nasional pada 1993 telah memberi bantuan bernilai lebih RM1 bilion kepada lebih 10,000 graduan.

Katanya, sebagai tambahan kepada pemberian biasiswa, TNB juga memperkenalkan program biasiswa MyBetterFuture yang mensasarkan keluarga berpendapatan rendah atau B40.

Satu lagi sumbangan TNB dalam sektor pendidikan adalah dengan menubuhkan Universiti Tenaga Nasional pada 1997 yang mana telah menghasilkan 20,000 graduan termasuk Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, katanya.- Bernama

 

+ posts