KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, dengan indeks petunjuk pasaran menyusut 0.06 peratus berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana dalam saham mewah terpilih antaranya Public Bank dan Petronas Chemicals.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.98 mata kepada 1,637.40 daripada paras penutup 1,638.38 pada Jumaat.
Selepas dibuka 1.08 mata lebih rendah kepada 1,637.30, indeks itu bergerak antara 1,631.83 dan 1,637.49 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 623 kepada 255, manakala 341 kaunter lagi tidak berubah, 693 tidak diniagakan dan 60 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berada pada 2.53 bilion saham bernilai RM1.64 bilion.
Bagaimanapun, kerugian itu dihadkan oleh laporan yang memetik penganalisis sebagai berkata, pasaran ekuiti Malaysia dijangka menyaksikan aliran dana kembali semula seawal suku ketiga tahun ini,
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee dalam satu taklimat media hari ini berkata jangkaan itu disokong oleh kelemahan ringgit, penyambungan semula projek-projek mega serta peningkatan harga minyak sawit mentah.
Beliau berkata kelemahan ringgit akan menjadikan pasaran ekuiti tempatan lebih mendapat perhatian pelabur, manakala pelaksanaan semula projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia akan menarik minat terhadap sektor pembinaan.
“Dijangka tiada aliran keluar besar-besaran di pasaran ekuiti tahun ini selepas mengalami aliran keluar melebihi RM11 bilion tahun lepas dan aliran keluar RM2.6 bilion setakat ini,” kata Yee dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research dalam satu nota berkata, saham di Bursa Malaysia dijangka terus kekal neutral tanpa sebarang pemangkin yang kukuh di pasaran memandangkan kebanyakan berita berkenaan pembinaan sudah diambil kira berikutan pemulihan teknikal baru- baru ini.
“Dengan kejatuhan harga minyak mentah pada minggu lepas, kami menjangka saham minyak dan gas mengalami penurunan pada minggu ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank kekal tidak berubah pada RM9.14, Public Bank merosot lapan mata kepada RM22.56, Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM9.00, manakala TNB naik enam sen kepada RM12.20.
Kaunter paling cergas, Bumi Armada naik setengah sen kepada 23.5 sen, Sumatec berkurangan setengah sen kepada satu sen, Seacera turun tujuh sen kepada 24.5 sen dan Ekovest merosot lima sen kepada 89.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling untung, Yee Lee Corporation menokok 39 sen kepada RM2.33, diikuti PLB Engineering yang meningkat 24 sen kepada RM1.42, manakala Sunsuria menokok 10 sen kepada 73.5 sen.
Indeks FBM Emas rendah 33.15 mata kepada 11,632.66, FBMT 100 turun 30.10 mata kepada 11,447.02 dan FBM 70 berkurangan 132.19 mata kepada 14,598.54.
Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 59.21 mata kepada 11,826.71 dan Indeks FBM Ace jatuh 124.75 mata kepada 4,669.09.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.91 mata kepada 16,887.37, Indeks Perladangan turun 24.43 mata kepada 7,274.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 1.93 mata kepada 170.08.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.85 bilion saham bernilai RM1.49 bilion berbanding 2.20 bilion saham bernilai RM1.94 bilion pada Jumaat.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 386.87 juta unit bernilai RM95.53 juta daripada 354.91 juta unit bernilai RM70.76 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 284.84 juta saham bernilai RM47.45 juta berbanding 286.34 juta saham bernilai RM48.79 juta sebelum ini.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 196.37 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (364.49 juta), pembinaan (289.54 juta), teknologi (88.40 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (37.71 juta), hartanah (153.44 juta), perladangan (43.09 juta), REITs (3.82 juta), dana tertutup (31,000), tenaga (545.36 juta), penjagaan kesihatan (31.91 juta), telekomunikasi dan media (53.30 juta), pengangkutan dan logistik (17.96 juta) dan utiliti (29.49 juta). – MalaysiaGazette