Home Ekonomi Loji Petronas Chemicals Pengerang bakal beroperasi hujung tahun

Loji Petronas Chemicals Pengerang bakal beroperasi hujung tahun

KUALA LUMPUR- Pembinaan loji petrokimia Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) berjalan lancar dan telah 98 peratus siap.

Pengerusi PCG Datuk Md Arif Mahmood berkata loji itu dijangka memulakan operasi komersial pada suku keempat 2019.

“Lazimnya, kami tidak meramalkan bila kami akan memulakan pengeluaran komersial penuh bagi loji baharu.

“Apabila kami memulakan operasi, kami akan melihat pengeluaran kira-kira 50 peratus (berbanding kapasiti) untuk melihat bagaimana prestasi loji itu dan kemudiannya kami akan mula meningkatkannya tahun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan PCG, di sini, hari ini.

Md Arif berkata berikutan peningkatan pengeluaran secara beransur-ansur, operasi komersial baharu itu tidak dijangka memberi sumbangan ketara kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan 2019.

Beliau berkata kejadian kebakaran di PIC awal bulan ini hanya menjejaskan unit atmospheric residue desulphurisation, yang merupakan komponen dalam proses penapisan yang mengawal kandungan sulfur dalam minyak mentah.

“Ia tidak berkaitan dengan proses petrokimia, yang bermakna pengoperasian masih diteruskan manakala bahagian yang terjejas akan diasingkan,” katanya.

Jumlah kapasiti pengeluaran petrokimia PIC diunjurkan sebanyak 3.3 juta tan metrik setahun.

Md Arif berkata operasi di kemudahan pengeluaran lain di negara ini dijangka kekal pada kadar penggunaan melebihi 85 peratus.

— BERNAMA