GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menjual minuman serbuk pelbagai jenama terkenal mengandungi dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM338,250 dalam dua serbuan di negeri ini pada Rabu lepas.
Ketua Polis negeri Datuk T. Narenasagaran berkata, hasil siasatan dan risikan yang rapi sejak beberapa minggu lepas, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan sedang memandu kereta di kawasan Pulau Tikus, di sini pukul 11 malam sebelum menyerbu sebuah rumah di Jelutong.
“Dalam serbuan di Jelutong, polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam dan kami berjaya membongkar kegiatan mereka iaitu memproses serta menjual minuman serbuk ‘3 dalam 1’ berjenama terkenal seperti coklat, teh, kopi dan nescafe mengandungi dadah jenis MDMA.
“Berdasarkan siasatan, sindiket itu membeli minuman serbuk berkenaan sebelum membuka dan memasukkan dadah tersebut dalam bungkusan minuman serta membungkus semula seperti asal,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati mereka kemudiannya menjual bungkusan-bungkusan serbuk minuman itu di pusat hiburan sekitar Pulau Pinang dan setiap bungkusan dijual pada harga RM200.
Narenasagaran berkata dalam serbuan itu, polis merampas 276 paket minuman pelbagai jenama mengandungi dadah, 5,070 pil eramin 5, pil esktasi (2,000 biji), ketamin (1,217 gram(g)), MDMA (381g), syabu (47g), 21 batang rokok mengandungi ganja serta peralatan untuk memproses serbuk minuman.
Katanya, semua dadah dirampas itu bernilai RM338,250 dan bahan terlarang berkenaan untuk pasaran di Pulau Pinang.
“Berdasarkan siasatan sindiket itu beroperasi sejak tiga bulan lepas dan wanita Vietnam yang ditahan tersebut merupakan kekasih kepada dalang utama iaitu lelaki berusia 49 tahun,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Nissan Almera, wang tunai serta duit dalam akaun bank dan semuanya bernilai RM52,418.29.
Katanya, bekalan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 15,800 penagih dadah.
“Semua mereka yang tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette