KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Syed Saddiq sebagai biadap.
Ini kerana Menteri Belia dan Sukan itu mengaitkan soal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam konflik membabitkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berikutan itu, Annuar mempersoalkan jasa Ahli Parlime Muar itu kepada negara.
“Apa jasa kamu pada sukan Malaysia setakat ini? Kamu tidak harus menyeret FAM dengan politik kerana FAM adalah badan bebas politik. Apa lagi jasa TMJ dalam bola sepak jauh lebih banyak berbanding kamu sendiri.
“Sedarlah, kamu cuma diperalatkan..Hayat politik kamu tidak lama…hayat manusia juga tidak lama. Hidup biar bersopan. Tutur kata biar beradab. Di situ bumi di pijak, di situ langit di junjung. Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Setiausaha Agung UMNO itu juga mengingatkan Syed Saddiq agar tidak terlalu takbur dengan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu kerana satu dunia tahu Pakatan Harapan menang dengan membuat janji palsu dan menipu rakyat.
“Kamu serta parti kamu cuma beroleh 13 kerusi dari 222 kerusi parlimen..Bangga apa SS (Syed Saddiq)?
“Kemenangan kamu juga kerana kamu sanggup menggadai maruah dan martabat Melayu dan Islam kepada DAP yang telah berjaya memperalatkan parti kamu.
“Hari ini parti kamu sudah di tolak oleh rakyat secara nyata dlm setiap PRK. Apakah kamu lupa?” soalnya lagi.
Annuar juga berkata, Syed Saddiq yang baru beberapa hari berjuang untuk rakyat berbanding Kesultanan Johor yang sudah beberapa keturunan memayungi dan membeli rakyat negeri itu.
Beliau yang menyifatkan Syed Saddiq berhempas pulas menarik perhatian Mahathir dengan membuat kenyataan provokatif terhadap TMJ.
“Mujur TMJ tidak melayan sifat kebudak-budakan Syed Saddiq,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu lagi.- MalaysiaGazette