Home Nasional TMJ belum ulas konfliknya dengan Tun M

TMJ belum ulas konfliknya dengan Tun M

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Iskandar dilihat enggan terpalit dengan konflik antara dirinya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam ciapan terbaharunya, TMJ memuat naik status bahawa dirinya sedang melakukan lawatan mengejut di negeri berkenaan.

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berangkat melakukan lawatan mengejut ke Kampung Melayu Batu 4, Paloh, Johor hari ini. Allah Peliharakan Sultan,” ciap Twitter baginda.

TMJ kembali mencuri tumpuan media apabila sebuah rakaman video menunjukkan Tunku Ismail beredar meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Stadium di Larkin, Johor selepas JDT 1-0 tewas kepada Shandong Luneng pada perlawanan Kejuaraan Liga AFC.

Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawa Tunku Ismail melintasi jalan, penyokong JDT melaungkan “hidup TMJ” namun salah seorang daripada mereka berkata “tukar Mora” merujuk jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Kenderaan SUV itu kemudian tiba-tiba berhenti dan Tunku Ismail yang duduk di bahagian hadapan mengeluarkan kepalanya dari tingkap dan berkata: “Daripada tukar Mora baik tukar perdana menteri.”

Keadaan semakin panas apabila Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan siapa yang berhak memegang jawatan perdana menteri hanya boleh ditentukan oleh rakyat.

Malah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut berkata Tunku Mahkota Johor (TMJ) pernah ditukar dahulu.

“Pada masa dulu, ada TMJ yang pernah ditukar kepada adiknya. Jadi, TMJ boleh ditukar.

“Perdana Menteri cuma rakyat boleh tukar,” kata Dr Mahathir. -MalaysiaGazette