KUALA LUMPUR – Menjelangnya bulan Ramadan ini, Peguam Negara, Tommy Thomas memohon perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bermula sekitar 8.30 pagi dan tamat sekitar 3 petang.
Ini membolehkan mereka yang berpuasa untuk pulang lebih awal dan melakukan persediaan berbuka.
Kata Tommy Thomas, pihaknya tidak ada masalah sekiranya perbicaraan dimulakan dengan lebih awal, masa rehat di pendekkan dan dihabiskan lebih awal.
“Kami memang benar-benar mahu prosiding ditamatkan pada jam 3 petang, jadi mungkin kita boleh bermula antara jam 8.30 pagi tak ada masalah kepada kita,” kata Tommy.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee membantah dengan mengatakan cadangan itu tidak adil kepada yang bukan beragama Islam kerana masa diberikan untuk makan serta rehat sebenarnya tidak mencukupi.
“Kita boleh tamat pada jam 3 petang, kita tidak ada sebarang masalah. Tapi kita adalah tidak wajar sama sekali untuk memaksa semua orang supaya tidak berehat untuk makan tengah hari.
“Yang Arif boleh beri masa antara 30 hingga 45 minit bagi yang bukan beragama Islam untuk makan dan berhenti rehat, itu juga beri ruang kepada yang Muslim untuk sembahyang,” ujarnya.
Dalam pada itu, jelas Muhammad Shafee, agak sukar untuk beliau memulakan perbicaraan pada 8.30 pagi kerana kakitangan sokongan, beliau tidak boleh beri arahan kepada mereka memulakan kerja pentadbiran sebelum jam 8 pagi.
Akhirnya, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan perbicaraan bermula 9 pagi sepanjang Ramadan dan berakhir pada jam 3.30 petang bagi memberi ruang kepada bukan Muslim makan tengah hari.
Ibadah puasa dijangka bermula Isnin depan.
Perbicaraan bersambung dengan soal balas mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-21, Pengurus AmBank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi. –MalaysiaGazette