PUTRAJAYA – Nama Ketua Hakim Negara yang baharu akan diketahui sebelum akhir minggu ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika ini kerajaan hanya menunggu perkenaan daripada Majlis Raja- Raja bagi pelantikan jawatan itu.
“Kerajaan masih menunggu perkenan Majlis Raja-Raja dan sepatutnya akan diketahui akhir minggu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis program bersama pegawai kerajaan profesional di sini hari ini.
Lebih 1,000 pegawai kerajaan terdiri daripada peringkat Pengurusan dan Profesional dari Gred 52 hingga JUSA/Khas Dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri hadir pada program itu.
Dr Mahathir diminta mengulas mengenai kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara yang ditinggalkan Tan Sri Richard Malanjum sejak 13 April.
Mengikut kebiasaan, jawatan tersebut diisi oleh bakal pemegang jawatan itu dalam tempoh masa seminggu kerusi tersebut dikosongkan.
Menurut laporan, nama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun yang juga abang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun turut menjadi pilihan.
Abang sulung mereka, Mahadir pernah bertugas sebagai penasihat undang-undang Dr. Mahathir sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.
Bagaimanapun, terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan bakal Ketua Hakim Negara merupakan seorang wanita.
Sekiranya benar, negara dan badan kehakiman akan mencatat sejarah buat kali kedua kerana jawatan tersebut selama ini hanya dipegang oleh lelaki. – MalaysiaGazette