KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam menegaskan beliau tidak berminat mengambil pendekatan ‘bertikam lidah’ dengan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menerusi platform media tempatan.
Ini kerana Kevin memberitahu MFL telah mengemukakan segala bukti bagi menangkis tuduhan tidak berasas Posa berhubung isu insurans pasukan-pasukan bertanding dan akaun kewangan MFL menerusi laman web rasmi badan penganjur Liga Malaysia itu semalam.
Terbaharu, Posa mendakwa MFL telah gagal membayar kos tuntutan perjalanan pegawai perlawanan kepada FAS.
Mengulas lanjut perkara itu, Kevin sekali lagi menjelaskan bahawa MFL hanya akan menjawab menerusi bukti dokumen yang sah.
“Sebelum ini kita telah memberikan penjelasan berkaitan insurans dan lampiran akaun kewangan yang beraudit.
“Kita mahu jelaskan sudah tentu jika ada tuduhan berkaitan dengan tiada pembayaran perlawanan rasmi, kami akan mengeluarkan bukti-bukti yang perlu.
“Namun bagi saya ia (kritikan) tidak akan berhenti di situ sahaja kerana selagi seseorang itu cuba untuk menaikkan sesuatu isu, beliau akan mencari isu lain tetapi apa yang kita nampak hanya satu kenyataan yang tidak berasas dan berlandaskan emosi, “ katanya.
Berdasarkan rekod, MFL tidak menyerahkan tuntutan kos perjalanan pengadil bernilai RM33,726.54 kepada FAS memandangkan mereka memiliki hutang lebih tinggi kepada MFL berikutan belum melunaskan hutang levi sebanyak RM34,924.70 pada tahun lalu.
Hutang FAS dengan MFL terus meningkat tahun ini apabila belum
membayar levi sebanyak RM48,547.30 sedangkan bayaran tuntutan kos perjalanan pengadil FAS hanya berjumlah RM20,575.34.
Sementara itu, Kevin turut menegaskan MFL tidak sesekali melepaskan tanggungjawab sebagai pengendali liga terhadap bola sepak Sarawak biarpun Posa bertindak mengkritik kredibiliti MFL secara terbuka di dada akhbar tempatan.
Biarpun tindakan Posa itu boleh mengundang hukuman di atas kesalahan memberikan perspektif buruk kepada Liga Malaysia yang secara tidak langsung memberi kesan kepada rakan kongsi lain, Kevin memberitahu bola sepak Sarawak memiliki potensi cukup besar dan masa depan yang cerah.
“Sebab itu kita ada peraturan di mana jika ada perbuatan rakan kongsi boleh mengecam rakan kongsi yang lain, mereka boleh dikeluarkan daripada liga.
“Namun saya tidak berminat untuk menyentuh perkara ini kerana itu bukan tujuannya kerana bola sepak Sarawak untuk semua rakyat Sarawak.
“Kita tidak boleh rencatkan perkembangan bola sepak Sarawak disebabkan perbuatan seseorang tidak kira apa pangkat beliau sebaliknya MFL harus berfikir secara keseluruhan aspek demi kebaikan semua rakan-rakan kongsi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kevin kecewa dengan sikap segelintir media tempatan yang lebih berminat untuk melaporkan artikel negatif berbanding laporan positif seperti acara World Football Summit (WFS) yang sedang berlangsung di ibu negara sejak semalam.
“Apa yang mengecewakan adalah ia berlaku ketika World Football Summit sedang berjalan di mana pasukan kita telah menghantar wakil-wakil untuk melihat perkembangan baharu bola sepak di serata dunia dan teknologi yang bagus untuk pasukan kita mendapat manfaat tanpa mengeluarkan kos besar mendapatkan pengalaman berharga dalam acara ini.
“Satu perkara baik sedang berlaku tetapi malangnya liputan lebih kepada tuduhan tidak berasas. Mungkin perkembangan dan kemajuan liga kita tidak dihargai sesetengah media di mana mereka lebih mengutamakan perkara negatif berbanding positif,” ujarnya. – MalaysiaGazette