Home Nasional Isu pekerja perlu diberi perhatian

Isu pekerja perlu diberi perhatian

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sektor pekerjaan harus diberi perhatian dan penghormatan yang sewajarnya di negara ini.

Ini penting bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan lebih profesional.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa perkara menyentuh soal pekerja akan terus diberi perhatian, antaranya dengan memperkukuh hak mereka di tempat kerja melalui kesatuan sekerja, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memperjuangkan kenaikan gaji minimum.

Jumlah pekerjaan baharu yang wujud menerusi ekonomi digital adalah sangat tinggi maka pendekatan Digital Native Agenda (DNA23) akan terus diperjuang demi mempersiapkan pekerja Malaysia menghadapi cabaran masa depan terutamanya Revolusi Industri 4.0, katanya.

Graduan yang menganggur akan diberi latihan semula dalam sektor-sektor baharu, terutamanya sektor teknologi, sekali gus dapat memastikan permasalahan seperti kemiskinan dapat diatasi dan mengelakkan jurang antara kaya dan miskin daripada terus melebar.

“Pekerja Amanah, Aspirasi Negara. Sesuai dengan tema sambutan tahun ini, suka untuk saya mengingatkan semua pekerja di peringkat awam mahupun swasta untuk terus mempamerkan nilai amanah dan integriti yang tinggi dalam pekerjaan.

“Para pekerja juga harus menjauhi sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan adanya pekerja yang mempunyai nilai amanah yang tinggi serta menolak politik kepartian, isu-isu seperti salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah akan dapat dikekang sama sekali. – MalaysiaGazette