KUALA LUMPUR – Jenazah Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Taman Selasih di sini tepat pukul 6.10 petang tadi.
Suasana hiba menyelubungi upacara pengebumian yang dihadiri kira-kira 2,000 orang.
Turut berkenan menziarahi pusara Allahyarham iaitu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Baginda tiba di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 6.35 petang dan meluangkan masa selama 15 minit.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Abu Hassan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda untuk disembahyangkan selepas solat Asar.
Ribuan orang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang merupakan seorang tokoh agama yang sangat dikenali.
Allahyarham adalah adik kepada bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din, yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada September 2016.
Arwah dilahirkan di Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau, sebelum ke Sekolah Agama Arab Alawiyah dan melanjutkan pelajaran di Mesir.
Allahyarham mulai bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.
Beliau juga merupakan bekas imam di Masjid Negara dan pernah menjadi Penasihat Agama kepada beberapa orang Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi tadi, Allahyarham dilaporkan rebah ketika hendak bersiap untuk menghadiri satu forum di Ipoh.
Beliau ketika itu sedang memakai seluar dan baru sahaja selepas menunaikan solat subuh di rumahnya dan dikejarkan ke hospital.
Allahyarham dilapor meninggal dunia pukul 7.30 pagi selepas disahkan oleh doktor di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – MalaysiaGazette