KUALA LUMPUR – Majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara ini mesti melaksanakan lebih banyak automasi untuk proses pematuhan pengurusan keselamatan dan menjadikan peralatan keselamatan lebih pintar sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, untuk menyokong proses transformasi di bawah IR 4.0, semua pihak perlu menerima teknologi terkini berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) dan beransur-ansur membuang cara tradisional seperti menggunakan kertas dan pen untuk mengumpul data OSH.
Katanya, kemajuan terkini dalam teknologi keselamatan membolehkan majikan melindungi pekerja dengan lebih berkesan.
“Ia turut membantu mereka meningkatkan daya saing dengan mengurangkan kos berkaitan pengurusan keselamatan.
“Sebagai contoh, peralatan pelindung diri (PPE) dengan sensor atau teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) boleh mempercepat proses pengumpulan data dan meningkatkan ketepatan dan kecekapan,” katanya dalam majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 di Kampung Baru di sini.
Majlis merupakan anjuran Persatuan Eksekutif Bank-Bank Islam Malaysia Berhad (Kesetia) dan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) yang dihadiri presidennya datuk Mohamed Shafie Bp Mammal.
Lam Thye menegaskan Tema yang dipilih kali ini iaitu Impak Revolusi Perindustrian 4.0 Terhadap Kesihatan dan Keselamatan Pekerja” amat tepat pada masanya dan dapat membantu para peserta membincangkan dan berkongsi idea tentang bagaimana menangani cabaran-cabaran dalam IR4.0.
Kata beliau lagi, ia turut membuka peluang untuk belajar dari negara-negara lain termasuk Jepun, yang bersetuju untuk menghantar pakar dari Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (JNIOSH).
Jelas lagi, para peserta juga belajar bagaimana teknologi terkini dapat membantu melindungi pekerja dengan lebih berkesan termasuk penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk memeriksa kawasan kemalangan manakala pengimbas laser digunakan untuk proses penyiasatan yang memerlukan ketepatan.
“Syarikat-syarikat besar seperti Petronas juga berkongsi pengalaman mereka menggunakan teknologi terkini dan data komprehensif untuk meningkatkan OSH dan memelihara alam sekitar.
“Malaysia turut melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian 4.0 yang dikenali sebagai Industri 4WRD untuk mendepani transformasi digital dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan.
“Industri 4WRD adalah langkah penting di mana Malaysia berusaha mengukuhkan pembaharuan struktur yang sedang berlaku untuk menjadi negara maju yang adil, mampan dan inklusif menjelang 2025 atau lebih awal,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette